Setahun PRU14: Gajah dalam bilik penjawat awam dan menteri


ADA satu simpulan bahasa dalam bahasa Inggeris, iaitu “elephant in the room” yang membawa maksud sesuatu perkara yang tidak diceritakan dan tidak mahu diceritakan, walaupun orang ramai tahu akan cerita yang sebenar.

Kajian Merdeka Center tentang prestasi Pakatan Harapan (PH) mendedahkan pandangan pengundi yang melihat prestasi kerajaan baharu agak merudum. Hampir 46% responden melihat kerajaan PH berada di landasan yang salah.

Menariknya, daripada 8% responden yang bekerja sebagai penjawat awam atau GLC, 45% daripada mereka menyatakan pandangan yang sama, bahawa kerajaan berada di landasan yang salah. Peratusan ini meningkat 20% berbanding tinjauan pada Ogos 2018.

Keadaan ini amat menarik untuk dikaji, kerana mereka yang bekerja rapat dengan kerajaan baharu turut bersetuju dengan rata-rata pandangan awam tentang hala tuju kerajaan. Kita tidak boleh terus terjun membuat kesimpulan akan pendapat penjawat awam ini.

Persoalan utamanya: mengapa mereka melihat prestasi kerajaan merosot?

Pertama, idea pembaharuan PH masih belum diperluaskan kepada penjawat awam. Mereka mempunyai kemahiran dalam membuat dasar kerajaan, namun atas kekurangan pendedahan kepada idea baharu yang dibawa oleh PH, mungkin mereka sukar melaksanakannya.

Kajian Merdeka Center mendapati hampir 51% penjawat awam/GLC tidak bersetuju ujian bagi murid darjah satu hingga tiga dihapuskan. Maksudnya, mereka masih melihat peperiksaan satu sistem yang berfungsi untuk menilai prestasi pelajar, berbeza sedikit dengan idea menteri pendidikan.

Malah, Kementerian Pendidikan kerap bertukar dasar apabila menteri baharu mengambil alih. Ini melunturkan motivasi mereka melaksanakan perubahan drastik yang sebenarnya akan membebankan guru, pentadbir, dan ibu bapa dengan melibatkan kos kewangan dan tenaga yang tinggi.

Kedua, komunikasi yang tidak efektif antara menteri dan penjawat awam. Kita dihujani dengan kenyataan menteri yang saling bercanggah dan mengelirukan sejak 9 Mei lalu. Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak mendapat informasi yang tepat, termasuk penjawat awam.

Awal September lepas, cadangan menurunkan had mengundi kepada umur 18 tahun dikhabarkan dipersetujui Kabinet. Namun, kajian Merdeka Center sekali lagi memperlihatkan bahawa 50% responden tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan hampir 60% penjawat awam menyatakan hal yang sama. 

Maka, apakah dasar ini akan diteruskan PH walaupun masih ramai orang awam tidak membeli idea mereka ini? Adakah menteri sedar akan hal ini?

Inilah gajah yang perlu dikeluarkan dari bilik penjawat awam dan menteri, supaya kerjasama kedua-duanya dapat mencipta perubahan yang rakyat mahukan. Tetapi, rakyat harus adil, kedua-dua pihak ini perlu diberi ruang. 

Langkah pertama perlu betul

Menteri dan penjawat awam sebenarnya sama-sama menjalankan tugas untuk negara. Cuma, atas komunikasi dan persefahaman yang kurang, maka masing-masing menganggap mereka saling melebihi antara satu dan yang lain.

Ada menteri menganggap pandangan penjawat awam tidak perlu diutamakan, kerana mereka mahu meneruskan kelangsungan politik populis di mata rakyat. Penjawat awam pula melihat menteri ini tidak berpengalaman dalam urus tadbir.

Tetapi, saya fikir pandangan ini tidak dikongsi oleh semua penjawat awam. Mereka sedar bahawa ada menteri ini pernah memerintah negeri, tentunya mereka ini ada kekuatan sendiri.

Kedua-dua pihak ini ada “ego” masing-masing, yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah.

Kita perlu bersyukur, peralihan kuasa pada 9 Mei berlaku secara tertib dan aman. Situasi ini amat berbeza ketika pembangkang berjaya memerintah beberapa negeri selepas pilihan raya umum tahun 2008, yang tidak dibuka pintu pejabat seluas-luasnya untuk mereka kerana sikap segelintir penjawat awam yang masih taat pada tuan terdahulu.

Jika peristiwa perubahan pada 2008 tidak berlaku, mungkin pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan tahun lalu akan bertambah rumit. Tetapi, pengajaran tersebut mendewasakan politik Malaysia, khususnya rakyat.

Sejak peralihan kuasa, kerajaan PH berjaya mengembalikan sokongan rakyat. Ini dilihat menerusi peratusan kebimbangan rakyat tentang rasuah terhadap kerajaan menurun kepada 23% pada Mac 2019 berbanding 33% Ogos 2018.

Usaha ini selaras dengan dasar kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 yang mempunyai hampir 150 insentif membasmi rasuah, termasuk amalan politik, korporat dan penjawat awam. Penubuhan GIACC juga menonjolkan ketegasan PH untuk mencapai sasaran sifar rasuah di Malaysia.

Dasar seperti ini akan memulihkan ketelusan urus tadbir kerajaan persekutuan selepas reputasinya jatuh sebelum PRU14.

Idea baharu seperti melarang orang awam merokok di restoran, peningkatan dan penyelarasan gaji minima kurang setahun, borang JKM tidak perlu ditandatangani oleh wakil rakyat, pindaan AUKU, kebebasan akademik dan media tidak akan berlaku sekiranya penjawat awam dan menteri tidak sekepala dalam melaksanakannya.

Ini hanyalah permulaan untuk memastikan penjawat awam dan menteri mampu melaksanakan dasar baharu untuk masa akan datang.

Buat masa sekarang, kedua-dua pihak ini perlu mengubah minda. Menteri perlu bergerak dan mengetuai kementerian dan kerajaan dalam satu pasukan, bukan lagi pemikiran pembangkang dan buat kerja bersendirian.

Penjawat awam pula perlu terbuka dan menjadi pemudah cara bagi menteri melaksanakan agenda perubahan buat rakyat.

Akhir sekali, saya berpendapat penjawat awam hari ini perlu membuka pintu kepada bakat muda untuk memastikan keberlangsungan kepimpinan dan idea baharu buat sektor awam negara.

Kejayaan kerajaan bergantung pada kejujuran dan kesungguhan penjawat awam. Sekiranya prestasi kerajaan cemerlang, penjawat awamlah penggeraknya. Jika prestasi kerajaan tidak memberangsangkan, penjawat awam turut menerima tempiasnya.

Semua ini langkah pertama, yang perlu dibuat dengan betul. Masih ada sejuta langkah untuk kerajaan PH dan penjawat awam bekerjasama untuk melaksanakan dasar baharu mahupun manifesto. – 9 Mei, 2019.

* Fakhrurrazi Rashid ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen