Arab Saudi benarkan aplikasi panggilan internet


ARAB Saudi akan membenarkan penggunaan applikasi panggilan internet pada Rabu, kata pihak berkuasa, tindakan yang sekaligus meredakan sekatan dalam talian ketika negara konservatif itu berdepan kritikan terbaru berkaitan tapisan internet.

Aplikasi panggilan video dan suara seperti WhatsApp dan Skype akan “tersedia untuk pengguna”, kata kerajaan dalam satu kenyataan semalam, tindakan yang dilihat bertujuan untuk meningkatkan keyakinan perniagaan kepada transisi negara itu dalam era pasca minyak.

“Akses kepada VoIP (Voice over Internet Protocol) akan mengurangkan kos operasi dan melonjakkan keusahawanan digital,” kata kenyataan itu lagi.

“Transformasi digital adalah salah satu pelonjak ekonomi Saudi, kerana ia akan memberikan insentif kepada perniagaan berasaskan internet, terutama sekali dalam industri hiburan dan media.”

Pengumuman itu dikeluarkan sehari selepas Al Jazeera mengecam tindakan Snapchat kerana menyekat badan penyiaran itu daripada menggunakan aplikasi itu di Arab Saudi atas permintaan pihak berkuasa.

Arab Saudi sudah lama menuduh Al Jazeera sebagai lidah tidak rasmi kumpulan pelampau, dakwaan yang dinafikan syarikat penyiaran berpangkalan di Qatar itu.

Bersama-sama Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain, Arab Saudi mengenakan sekatan diplomatik dan ekonomi ke atas Qatar Jun lalu, krisis terburuk negara Teluk sejak beberapa tahun ini.

Al Jazeera mengecam sekatan itu, menyifatkannya sebagai tindakan menyekat kebebasan bersuara tetapi kerajaan Arab Saudi mempertahankan pendirian mereka.

“Kerjasama terbaru dengan Snapchat untuk menyekat Al Jazeera, saluran sebaran propaganda merbahaya yang menyokong ekstremis, tidak wajar dianggap sebagai pengasingan atau ditafsirkan sebagai tekanan kepada media yang bebas,” kata kenyataan itu.

Arab Saudi dengan jumlah belia yang tinggi adalah antara negara dunia yang mempunyai jumlah pengguna media sosial per kapita penduduk tertinggi.

Internet membenarkan ruang kebebasan bersuara yang terhad dalam negara yang dipenuhi dengan jangkaan ketat sosial itu.

Lebih separuh daripada rakyat Arab Saudi berusia 25 tahun banyak menghabiskan masa mereka dalam media sosial, yang lebih bebas berbanding tradisi dan peraturan rasmi kerajaan. – AFP, 20 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen