Pertahan semangat 9 Mei


PADA 9 Mei 2018, rakyat Malaysia mengundi dalam pilihan raya yang menandakan satu detik penting dalam sejarah Malaysia. Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan Barisan Nasional (BN) tersingkir dari tampuk pemerintahan yang dipegang sejak Merdeka.

Taktik berkempen yang sering digunakan oleh BN adalah memainkan sentimen keagamaan dan perkauman untuk menguatkan dakwaan bahawa hanya BN boleh memastikan kepentingan golongan majoriti dilindungi. PRU14 tidak berbeza dengan pilihan raya umum sebelumnya dalam hal ini.

Namun begitu, perkara yang tidak dijangka berlaku. Rakyat Malaysia tekad keluar mengundi untuk memastikan BN  menerima padah  akibat penyalahgunaan kuasa dan kleptokrasi yang telah menjadi sumber tajuk-tajuk berita sensasi seluruh dunia sebelum PRU14.

Rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan mereka dan mengundi untuk akauntabiliti sehingga BN disingkirkan dari kuasa dan digantikan oleh Pakatan Harapan (PH).  Tarikh 9 Mei menandakan permulaan “Malaysia Baharu”.

Ini adalah sebuah impian yang telah dicapai kerana rakyat Malaysia berganding bahu untuk kebaikan bersama.

Bagaimanapun, jalan menuju ke arah Malaysia yang lebih baik dipenuhi dengan masalah dan cabaran. Sejak kebelakangan ini, kita menyaksikan sesetengah pihak mengunakan sentimen agama dan perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.

Perhimpunan anti ICERD pada Disember 2018 membangkitkan sentimen perkauman dan agama dengan mendakwa bahawa ICERD mengancam kepentingan Melayu-Muslim serta institusi Raja-Raja Melayu. Ini menyebabkan kerajaan PH menarik balik keputusan untuk meratifikasi ICERD.

Bagaimanapun, detik-detik perpaduan yang positif jelas kelihatan menerusi peristiwa-peristiwa sama ada secara umum ataupun yang jarang disaksikan. Rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat telah menyertai Himpunan Solidariti Kedamaian untuk mempertahankan keamanan dan menolak keganasan terhadap umat Islam di Christchurch yang membawa kepada Pengisythiaraan Kedamaian  Kuala Lumpur 2019.  Ini diikuti himpunan solidariti yang diadakan bagi memperingati mereka yang terkorban dalam pengeboman pengganas terhadap umat Kristian dan lain-lain di Sri Lanka, baru-baru ini.

Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan PH dari segi perpaduan , kewujudan bersama secara aman dan kebersamaan sosial.

Gabungan Bertindak Malaysai (GBM) ingin menarik perhatian kepada tiga cabaran tersebut:

  1. Rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan  Melayu-Muslim masih mempunyai  ketakutan dan kebimbangan berkenaan identiti bersama dan kebajikan mereka. Ini termasuk kesejahteraan dari segi ekonomi.
  2. Ketakutan dan kebimbangan ini direka dan dieksploitasi oleh ahli politik yang tidak berprinsip atau pihak lain yang mempunyai motif tersirat sehingga memberikan peluang kepada mereka untuk memanipulasi dan memutarbelitkan naratif dengan tujuan untuk mewujukan kesangsian, kecurigaan, kebencian dan permusuhan demi kepentingan diri sendiri.
  3. Naratif sebegini hanya akan mencetus tindak balas daripada pelbagai lapisan masyarakat. Tindak balas ini akan menyumbang kepada ketegangan, keagresifan, konflik dan permusuhan.

Cabaran-cabaran sebeginilah yang menyebabkan segala usaha untuk mencapai perpaduan, kewujudan bersama, dan kebersamaan sosial hanya tinggal sebagai hasrat sahaja.

Kerajaan PH harus menunjukkan hasrat politik yang lebih besar dan memberi keutamaan dalam membangunkan polisi serta amalan yang bertujuan untuk mencapai perpaduan sosial, sikap saling menghormati, sifat menerima kepelbagaian, kesefahaman antara agama dan kebersamaan sosial yang lebih baik.

Berikut adalah cadangan kepada kerajaan PH untuk dipertimbangkan secara serius di kala ia melangkah ke tahun kedua dalam pentadbiran.

  1. Melaksanakan kempen media yang jelas dan mengariskan serta menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengenai perpaduan negara, kewujudan bersama, kebersamaan sosial dan bagaimana ia akan menjamin dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.
  2. Menolak dan mengecam segala bentuk ekstremisme sama ada berdasarkan perbezaan kaum dan etnik sehingga mennyisihkan pihak lain, mementingkan suatu agama dan umatnya sehingga menjejaskan hak dan kepentingan masyarakat lain, pencercaan terhadap mana-mana agama, kelompok agama, masyarakat  terpinggir atau golongan yang tidak diterima oleh masyarakat umum.
  3. Melaksanakan pembaharuan sama ada dalam undang –undang atau dasar  dan memulakan program yang mensasarkan sikap hormat terhadap kepelbagaian, dan kesaksamaan dalam kemanusiaan. Ini termasuk akses kepada keadilan dari segi proses dan keputusan,  dan  menegakkan  kebebasan asas dan sivil bagi semua orang dan masyarakat.
  4. Melaksanakan dasar dan program ekonomi secara adil dan saksama yang dapat memberikan manfaat dan memperkasakan komuniti B40. Ini termasuk peluang pekerjaan dan agihan kekayaan  dan sumber yang sama rata untuk semua.

GBM menyeru agar semua rakyat Malaysia bersatu menentang ansir-anasir yang cuba untuk memecahbelahkan kita dengan mempertahankan semangat 9 Mei. Kita haruslah membuang perbezaan yang wujud dan berkerjasama untuk mewujudkan Malaysia yang sejahtera kepada semua rakyat menerusi perpaduan, keadilan, dan kesaksamaan. – 9 Mei, 2019


* Zaid Kamaruddin merupakan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) bagi pihak pertubuhan ahli GBM.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen