Setahun Pakatan Harapan: Hanya sebuah mimpi


DETIK 9 Mei 2018 yang lalu, menjadi suatu titik tolak kepada arus politik di Malaysia. Buat pertama kalinya, rejim Barisan Nasional tumpas kepada Pakatan Harapan.

Tsunami gelombang rakyat memastikan kejatuhan BN ini haruslah diambil pengajaran bahawa rakyat punyai kuasa untuk memilih siapa yang ketua mereka. Itulah lumrah sebuah amalan demokrasi.

Waktu itu laungan-laungan seumpama hidup rakyat, hidup Pakatan dan reformasi bergema di seantero negara malah menjadi zikir harian buat rakyat. Segala mimpi dan harapan tersimpul erat buat Pakatan Harapan untuk mentadbir urus Malaysia dengan lebih baik dan telus.

Jika mahu diceritakan detik-detik bersejarah sewaktu pertukaran kerajaan yang lalu, bukanlah di sini tempatnya. Hal itu, kita boleh bincangkan dan diceritakan di ruangan lain yang lebih santai.

Namun hari ini, saya mengajak anda semua untuk melihat kembali pandangan yang marhaen ini. Sekadar mahu kita semua berfikir-fikir dan menilai kembali.

Menemui pilihan raya kecil Sandakan akan datang, PH agak bergelut untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Kekalahan PH di tiga pilihan raya kecil adalah bukti kekecewaan tersebut. Rakyat menghantar mesej amaran kepada kerajaan PH untuk lakukan sesuatu.

Ditambah lagi dengan sebuah statistik yang diuruskan oleh Merdeka Centre berkenaan kepuasan rakyat terhadap PH ialah sebanyak 39% sahaja. Ini menjadi sebuah pemberat bahawa PH haruslah menyusun kembali langkah dan roadmap untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.

Bukan sekadar mempamerkan hasil yang telah dibuat di media sosial sahaja, tetapi kembali memikirkan sentimen yang realistik untuk disuntik kepada rakyat.

Melawan naratif Umno-PAS

Saya berpandangan isu kerjasama Umno dan PAS mustahak dalam konteks semasa. Demi survival politik pasca Malaysia Baharu. Begitulah strategi politik. Kita berpolitik bukanlah hanya mahu menjadi penonton, tetapi kita mahu meraih sokongan dan dukungan orang ramai.

Walaupun pimpinan PAS mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah antara satu sama lain berkenaan penggabungan ini, namun lihat sahaja siri PRK yang telah dilalui.

Tambah lagi, saya berfikir bahawa penggabungan ini membawa suatu naratif baharu dalam landskap politik Malaysia. Naratif Melayu-Islam. Gabungan antara dua parti yang majoriti Melayu-Islam di samping membawa agenda penyatuan ummah ini mampu merobek usaha Pakatan Harapan dek lalai dalam permainan sentimen ini. Di mana Bersatu dan Amanah sekarang?

Pakatan Harapan harus melihat realiti ini sebagai sebuah perlawanan dan banyak kerja rumah yang harus dianalisis dan disusun atur kembali percaturannya iaitu perlawanan membina naratif.

Naratif ini haruslah dicari ubatnya dalam membaik pulih keadaan semasa. Saya boleh katakan peranan tidak jelas Bersatu dan Amanah dalam membawa agenda Melayu dan Islam secara drastik memberi kelebihan kepada Umno dan PAS untuk memanfaatkan peluang sebegini.

Bersatu dan Amanah wajar meniti kembali perjuangan mereka dalam mencorak naratif Melayu-Islam yang baru.

Saya tidak ada masalah untuk Umno dan PAS membawa agenda tersebut, cuma harus diingat bahawa tugas fundamental sebagai parti pembangkang yang solid harus diutamakan.

Fokuskan kepada proses semak imbang yang berkesan dalam berbicara soal polisi dan dasar negara. Umno dan PAS harus mencari sokongan daripada bukan Melayu untuk kekal relevan dalam pertarungan idea ini.

Empat tahun mendatang

Tidak dinafikan bahawa PH ada banyak kelemahan yang harus diperbaiki. Kekecewaan ini harus diberi perhatian. Lambatnya tindakan kerajaan menyelesaikan skandal 1MDB, kecewa kerana harga komoditi sawit dan getah jatuh teruk, kecewa kerana menteri PH kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama mereka, kecewa dengan tindakan pusingan ‘u’, kecewa pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak menurunkan kos hidup dan harga barang, kecewa kerana kerajaan PH mengubah kaedah bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari janji asal manifesto mereka, dan kecewa kerana kurangnya peluang pekerjaan.

Namun kita lihat kebebasan media memberikan tamparan hebat untuk memenangi hati rakyat kembali. Banyak juga hal reformasi institusi yang dilakukan oleh kerajaan kini, antaranya pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Hakim Negara, dan Ketua Polis Negara yang saya yakin dapat membawa negara ke depan.

Saya juga dapati kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah, meningkatkan kebebasan media, dan menghormati hak-hak politik rakyat dijamin.

Pakatan Harapan harus belajar untuk mengurus naratif di media sosial. Hari ini dunia tanpa sempadan. Segalanya boleh dicapai melalui jari sahaja.

Menjadi suatu keperluan untuk wujudnya suatu mekanisme dalam menyaring segala berita yang songsang dan tidak benar asalkan menjaga hak bersuara rakyat, selain PH seharusnya fokus untuk menunaikan janji yang telah dicanang ketika PRU14 lalu.

Sekadar berkongsi sedikit pandangan. Semoga penulisan memberikan kita ruang untuk berfikir kembali. – 9 Mei, 2019


* Luthfi Yusri merupakan mahasiswa Universiti Malaya dan editor Nadi Mahasiswa Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen