.jpg)
TANGGAL 9 Mei merupakan hari yang bersejarah buat Malaysia. Hari tersebut menjadi saksi kepada perubahan yang dilakukan oleh hampir enam juta rakyat Malaysia yang mahukan kerajaan diterajui oleh Pakatan Harapan.
Sesungguhnya kemenangan itu tidak disangka. Dalam keadaan kebebasan media ditekan dan ahli politik pembangkang dipenjarakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), memang sukar untuk mengimpikan kemenangan waktu itu.
Dua belas bulan telah berlalu. Rakyat sudah pun mula menilai prestasi setiap menteri dan kerajaan Pakatan secara keseluruhannya. Suasana ceria dan penuh harapan pada awal kemenangan telah bertukar menjadi suram, kecewa dan penuh amarah.
Malah, lebih menggusarkan lagi terdapat segelintir masyarakat yang merasakan mereka telah tertipu dengan janji-janji Harapan yang ditulis dalam manifesto. Ditambah lagi dengan permainan politik Umno dan PAS yang mula mengangkat agenda perkauman dan agama bagi memenangi semula hati pengundi Melayu khususnya.
Slogan Malaysia Baharu memperdayakan?
Kita masih ingat bagaimana slogan Malaysia Baharu kerap kali dilaungkan sewaktu awal pemerintahan Harapan tahun lalu. Konotasi positif slogan tersebut menyuntik harapan baru kepada rakyat yang selama ini merasakan diri mereka tertindas semasa pentadbiran Najib Razak.
Mereka yakin bahawa pentadbiran Harapan akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik dalam aspek ekonomi, keadilan masyarakat sivil, kebebasan sosial, dan lain-lain di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Malah, perpaduan antara kaum juga dilihat bertambah baik selepas kemenangan Harapan pada 9 Mei yang lalu.
Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, slogan tersebut sudah mula diperlekehkan malah dijadikan bahan jenaka oleh pihak pembangkang. Rakyat seolah-olah telah terpedaya dengan gambaran Malaysia Baharu yang diimpi-impikan selama ini. Tetapi, tiada siapa yang pernah meletakkan definisi Malaysia Baharu.
Jadi, apakah pembaharuan yang ingin dicapai sebenarnya?
Saya berpendapat kerajaan perlu hanya fokus kepada perubahan yang ingin dibawa tanpa perlu mengulangi laungan slogan tersebut. Rakyat menilai bukannya berdasarkan sorakan kata-kata, tetapi berdasarkan dasar dan polisi baharu yang memberi kesan terus kepada kehidupan seharian mereka.
Hala tuju ekonomi kerajaan Harapan
Pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib Razak dilihat lebih cenderung untuk memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat korporat bagi memacu ekonomi negara.
Pelbagai projek mega diluluskan seperti Aliran Transit Massa (MRT), Tun Razak Exhange (TRX), Bandar Malaysia, Menara PNB dan beberapa lagi. Pelaksanaan projek-projek besar inilah sebenarnya yang telah menyumbang kepada pertubuhan KDNK yang memberansangkan pada tahun-tahun sebelum ini.
Namun pada masa yang sama, angka-angka ekonomi ni jugalah yang telah mengundang kemarahan rakyat. Najib Razak menilai kedudukan ekonomi hanya bersandarkan kepada nombor tanpa memahami kepayahan hidup yang dihadapi oleh rakyat kebanyakan setiap hari.
Masalah kos sara hidup memuncak ketika zaman pemerintahan beliau. Harga barang naik melambung sejak GST diperkenalkan walhal gaji kekal rendah berada di tahap yang sama. Bila harga sudah naik, memang sukar untuk diturunkan semula walaupun GST sudah dimansuhkan.
Oleh yang demikian, kerajaan Harapan perlu menjelaskan hala tuju ekonomi negara. Ini kerana rakyat menuntut agar pembangunan infrakstruktrur selari dengan pembangunan sumber manusia. Pekerja-pekerja syarikat korporat, GLC dan swasta perlu turut sama merasai keuntungan projek-projek yang bernilai jutaan ringgit.
Sebelum ini kita memiliki Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apa pula model ekonomi yang diguna pakai sekarang ini? Apakah sektor ekonomi yang akan memacu negara dalam 10 tahun akan datang?
Kita tidak boleh kekal bergantung kepada sektor perindustrian kerana ia menjadi salah satu punca kemelut gaji pekerja yang rendah. Melainkan kerajaan menetapkan supaya kilang-kilang ini mengadaptasi penggunaaan teknologi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja buruh asing.
Negara perlu mula mengorak langkah menjadi sebuah negara berasaskan inovasi agar lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dihasilkan. Ini akan menjurus kepada penghasilan bakat-bakat berkualiti, peningkatan tahap ekonomi pekerja dan juga tahap daya saing industri dalam usaha ke arah mencapai status negara maju.
Nilai prestasi sepenggal, bukan setahun
Perubahan kerajaan pada 9 Mei tahun lepas menunjukkan bahawa rakyat tidak lagi mahu diterajui oleh Najib Razak.
Kini, mereka mengharapkan agar kerajaan Harapan dapat menyelesaikan segala masalah dan kesulitan yang dihadapi dengan segera, terutamanya masalah kos sara hidup yang melibatkan gaji yang rendah dan harga barang yang mahal.
Dalam masa setahun, saya yakin kerajaan telah melaksanakan segala inisiatif rakyat yang termampu dalam keadaan kewangan fiskal yang ketat. Kerajaan terpaksa mengambil langkah penilaian semula projek-projek mega bagi mendapatkan sebarang penjimatan seperti ECRL, MRT, dan TRX bagi memastikan skim subsidi dan bantuan rakyat kekal mampan dan dapat diteruskan.
Kita sedar bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan Harapan sudah mula suram sejak kebelakangan ini. Kerajaan tidak perlu terlalu gusar dengan sentimen ini sebaliknya perlu terus komited untuk bekerja menaik taraf ekonomi rakyat.
Dua belas bulan adalah masa yang terlalu singkat untuk meletakkan penilaian yang muktamad terhadap pentadbiran sesebuah kerajaan. Sebab itulah, pilihan raya diadakan setiap lima tahun supaya pengundi boleh menilai prestasi dan gerak kerja yang dijalankan selama lima tahun.
Saya yakin dalam masa berbaki empat tahun, kerajaan Harapan bakal membuktikan kebolehannya yang sebenar memimpin Malaysia. Janji-janji manifesto akan dapat ditunaikan apabila kedudukan kewangan negara kembali berada dalam kedudukan yang baik.
Yang paling penting, pimpinan kerajaan Harapan harus memastikan tahap integriti yang tinggi dalam pentadbiran. Rakyat kini menuntut kerajaan yang bersih daripada sebarang skandal rasuah. Setiap cukai yang dikutip mestilah dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi, pembangunan infrastruktur, bantuan sara hidup dan sebagainya.
Pembangunan ekonomi perlulah merentas kaum agar tiada satu kelompok masyarakat pun yang akan dipinggirkan. Dengan ini, Insya-Allah kerajaan Harapan akan dapat terus kekal mentadbir Malaysia atas prinsip keadilan dan kesejahteraan. – 9 Mei, 2019
* Arshad Hassni merupakan pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen