Setahun yang serba baharu di Malaysia


Jahabar Sadiq

Sejak 10 Mei lalu, kita ditunjukkan apa itu kuasa dan bagaimana ia berubah. – Gambar EPA, 24 April, 2019.

HARI ini genap 365 hari segala-galanya serba baharu di Malaysia. Barangkali rakyat Malaysia perlu masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri.

Kebanyakan kita tidak biasa dengan apa yang kita lihat sekarang – tikam lidah antara Putrajaya dan istana, umat Islam yang percaya hak mereka sedang dihakis dan seorang bekas perdana menteri di kandang tertuduh.

Atau juga tahap kebebasan bersuara dan media yang mengetengahkan pelbagai pandangan yang adakalanya melampau, yang perlu ditangani dengan undang-undang dan peraturan dari era Barisan Nasional (BN).

Semua ini berlaku hanya kerana rakyat Malaysia menukar kerajaan persekutuan yang berkuasa selama 55 tahun.

Mereka sudah terbiasa dengan cara terima arahan dan patuh – bahawa yang berkuasa itu ahli politik sementara rakyat hanya tunduk tanpa banyak soal.

Kalau pun mereka menyoal, ada undang-undang yang akan membuatkan mereka tutup mulut.

Namun sejak 10 Mei lalu, kita ditunjukkan apa itu kuasa dan bagaimana ia berubah. Dalam pilihan raya umum yang lain, pihak yang menang akan mengangkat sumpah tanpa banyak soal.

Dr Mahathir Mohamad terpaksa menunggu berjam-jam untuk mengangkat sumpah, dan pada satu ketika beliau nampak seperti ingin pulang sekiranya Istana Negara enggan meneruskan tugasnya.

Orang ramai menunggu di luar Istana Negara untuk memastikan Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Tidak pernah dalam sejarah Malaysia upacara itu jadi begitu mustahak dan rakyat berhimpun di luar istana untuk memastikan ia berlaku.

Sejak itu, segala-galanya serba baharu. Apatah lagi, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak ada ingatan akan tahun-tahun awal Mahathir, termasuk kerabat diraja dan rakyat kebanyakan.

Bayangkan saja begini. Adakah Putrajaya akan bertelagah secara terbuka dengan istana sedekad yang lalu?

Kali terakhir ia berlaku ialah semasa Dr Mahathir mentadbir kali pertama – pada 1983 dan 1993.

Mereka yang lahir pada masa itu sekarang ini umurnya baru 26 tahun dan mereka yang berumur kurang 30 tahun tidak mungkin sedar akan pertelagahan dengan istana pada masa itu.

Setidak-tidaknya satu generasi rakyat Malaysia tidak pernah melihat pertelagahan terbuka seperti itu.

Hari ini, pihak kerabat meluahkan pandangan di media sosial dan turut dikritik, juga di media sosial.

Hanya beberapa tahun lalu, seorang kerabat secara terbuka menyatakan sokongan kepada BN dan malangnya gabungan politik itu kalah.

Adakah munasabah untuk mengandaikan pertelagahan sekarang sepatutnya sudah selesai lama dulu.

Selain itu, hubungan kaum dan agama terus teruji. Kelompok majoriti merasakan mereka seolah-olah kumpulan minoriti yang tertindas yang hilang hak dan keistimewaan. Mereka merasakan kerajaan Pakatan Harapan tidak mesra pada Islam.

Ada saja yang tidak kena dengan kelompok majoriti Melayu, daripada dokumen antarabangsa mengani anti diskriminasi ICERD sampailah kepad Statut Rom dan sebelumnya pelantikan seorang etnik Cina sebagai menteri kewangan.

Betulkah begitu? Adakah itu rasa tidak puas hati yang sebenarnya atau kemarahan yang direkacipta oleh ahli politik yang kalah PRU14?

Mungkin ia gabungan kedua-duanya, kebiasaan yang baru dan lama yang dirasakan oleh kumpulan etnik yang berbeza di Malaysia.

Mereka akan ke jalan raya apabila mereka rasa terancam. Itulah kebebasan dan rakyat Malaysia harus meraikannya, tetapi tidaklah sehingga mencetuskan keganasan.

Akhir sekali, adakah munasabah setahun yang lalu seorang perdana menteri Malaysia dan kerajaan hilang kuasa?

Atau seorang perdana menteri yang kalah dan sekarang duduk di kandang tertuduh – dituduh mengubah wang haram, pecah amanah dan rasuah?

Adakah kita membayangkan kekayaan yang tersimpan di apartmen mewah yang dikaitkan dengan keluarga perdana menteri, daripada wang tunai sampai kepada barang kemas dan beg tangan berjenama?

Namun hari ini kita melihat Najib Razak ke mahkamah untuk mendengar keterangan mengenai wang syarikat kerajaan masuk ke akaun banknya tanpa sebarang alasan. Wang itu dibelanjakan untuk kerja ubah suai rumah dan kerja politik.

Sesetengah rakyat Malaysia masih susah hendak percaya semua ini. Mereka masih merasakan ini mimpi ngeri yang akan berakhir apabila BN berkuasa kembali, bahawa Dr Mahathir tidak mampu dan tidak berdaya untuk melaksanakan janji-janji perubahan.

Semua itu sedang dinilai. Namun hakikatnya, kita sedang melalui suatu zaman yang berbeza.

Kita hidup tanpa rasa takut untuk bersuara dan menuntut ahli politik dan golongan elit bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan.

Ini kebiasaan yang baru bagi kita, melihat kerajaan jatuh. Kita akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri selepas mengharungi zaman BN sebelum ini tetapi hidup kita akan kembali seperti biasa selepas ini.

* Jahabar Sadiq runs The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen