Kehidupan lebih baik di bawah BN, kata golongan pendapatan rendah


Diyana Ibrahim Looi Sue-Chern Mikha Chan

Pengundi tidak lihat sebarang peningkatan ketara pada kualiti hidup selepas setahun PH memerintah malah harga barang semakin mahal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

APABILA Pakatan Harapan (PH) memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lepas, Mohamad Fazli, 35, merupakan seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang gembira dengan mempercayai segala kesulitan berkaitan kewangan dan kenaikan harga barang akan berakhir.

Tetapi pemandu sambilan, sama seperti pengundi PH lain, semakin kecewa dengan ketiadaan peningkatan ketara dalam hidupnya sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya dulu undi Barisan Nasional (BN) tetapi ingin buat perubahan sebab tertarik dengan manifesto kerana saya antara yang terbeban dengan kos minyak dan tol,” kata Fazli, yang menyewa flat di Ampang.

Katanya, beliau terus memperuntukkan RM400 hingga RM500 sebulan untuk petrol dan bayaran tol, sama seperti sebelum PRU14.

Bagaimanapun, katanya harga barang tidak turun dan ada yang dinaikkan pada tahun lepas.

“Jadi kita ingat bila undi PH, kehidupan akan jadi lebih baik namun rasanya lagi senang kami ketika zaman BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rizal Ali, 31, yang berharap dapat menambah simpanan selepas kemenangan PH, kini mengeluarkan lebih banyak wang susulan peningkatan perbelanjaan isi rumah.

Penghantar surat dari Wangsa Maju itu berkata perbelanjaan bulanannya bagi barangan isi rumah meningkat daripada RM300 tahun lepas kepada RM500.

“Tahun lepas masih lagi okay (perbelanjaan) tetapi entah kenapa perbelanjaan bulanan saya bertambah tahun ini walau saya tidak perlu lagi membeli lampin pakai buang dan susu,” kata bapa kepada dua orang itu.

Komitmen bulanan Rizal berjumlah RM3,000, bermakna beliau tiada simpanan pada hujung bulan selepas gajinya dan isteri yang bekerja di bank dibelanjakan.

“Kalau dulu ada juga kita simpan RM100 atau RM150 sebulan tetapi sekarang langsung tidak dapat.”

Satu kajian baru-baru ini oleh Merdeka Centre mendedahkan hanya 39% pengundi memberi penarafan positif kepada kerajaan persekutuan PH, dari 60% pada Ogos tahun lepas.

Penurunan sokongan orang ramai terhadap pentadbiran itu disebabkan ekonomi yang lemah dan prestasi pentadbiran yang buruk, dan kebimbangan mengenai hak serta keistimewaan Melayu, serta kesaksamaan terhadap kaum lain di Malaysia, kata Merdeka Centre.

Farahdilla Kadir, 40, berkata kehidupan semakin sukar pada tahun lalu, walaupun dengan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang dipersalahkan bagi kenaikan harga dan perkhidmatan semasa pentadbiran BN.

Farahdilla, yang menjual cucur goreng di Seberang Jaya, Pulau Pinang, berkata beliau biasanya memperoleh kira-kira RM100 sehari tetapi menganggap dirinya masih bernasib baik walaupun hanya memperoleh RM30 sehari .

“Kadang-kala berniaga cuma dapat tanggung kos sahaja. Dulu saya boleh mengasmbil pekerja dengan upah RM40 sehari tetapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Memandangkan harga makanan yang tinggi, keluarganya terpaksa menghentikan membeli makanan laut walaupun ia menjadi menu utama mereka sebelum ini.

Harga barangan yang mahal, memaksa golongan berpendapatan rendah lebih berhati-hati ketika berbelanja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

Sabar semakin menipis

Pemimpin PH mengakui mereka tidak dapat memenuhi semua janji pilihan raya mereka, menyalahkan hutang ditinggalkan oleh pentadbiran BN sebelumnya.

Farahdilla berkata beliau sanggup memberikan masa kepada PH untuk membetulkan kesilapan pentadbiran lalu tetapi Putrajaya tidak boleh berterusan menyalahkan BN sebagai alasan.

“Tetapi sekarang semakin sukar. Dahulu ada BR1M yang boleh membantu, tetapi sekarang ramai tidak layak,” katanya merujuk kepada bantuan kos sara hidup baru yang diperkenalkan bagi menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia.

“Jadi rakyat mengeluh kerana hidup tidak seperti dulu, dan sekarang penyokong BN gelak pada kami.”

Hania Samaila, 40, mengakui kualiti hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana masih sama selepas PRU14.

Penyokong PH itu berkata pemansuhan GST tahun lepas tidak membawa banyak kelegaan dari segi penurunan harga barang atau kos menjalankan perniagaan, dan pendapatan bulanannya antara RM1,300 dan RM1,500 hanya sekadar cukup makan untuk menampung keluarganya, dan ibu yang sakit.

Bagaimanapun, beliau menggesa orang lain bersabar dan memberi masa kepada PH untuk membuktikan diri.

“Saya tidak mahu minta tolong daripada kerajaan baru. Mereka mentadbir baru setahun,” kata penduduk Kajang itu.

“Saya mahu tunggu sehingga mereka stabil dulu, barulah minta tolong. Bagi peluang dahulu.”

Tetapi Rizal dari Wangsa Maju berkata walaupun PH berjaya memperbaiki ekonomi dalam satu tempoh sepenggal, undinya akan kembali kepada BN dalam pilihan raya akan datang.

“Sekarang ini kita reda saja. Sudah terlanjur undi, tidak boleh buat apa,” katanya.

“Tapi kalau kerajaan buat lebih baik, saya sudah putuskan semasa mereka cakap manifesto bukan janji yang wajib dilaksanakan, saya tetap tidak akan perjudikan lagi nasib.” – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen