Proses damai selatan Thailand perlu penyertaan semua pihak


PROSES perdamaian selatan Thailand kini memerlukan pembabitan semua pihak bagi memastikan kejayaan dalam mencari penyelesaian kepada konflik yang berlarutan begitu lama dan meragut lebih 6,000 nyawa.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha berkata keamanan akan tinggal sebagai impian melainkan semua pihak diwakili dalam meja perundingan.

“Adakah semua kumpulan mengambil bahagian dalam rundingan ini? Jika tidak, cuba bawa mereka, selagi mereka tidak mengambil bahagian, kita masih tidak dapat membuat kesimpulan, oleh itu (kita) tidak dapat menyelesaikan apa pun,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Ayutthaya di Bangkok hari ini.

Beliau mengulangi mengenai pendekatan kerajaan menggunakan kaedah menyelesaikan konflik itu secara aman.

Prayut menjawab kenyataan Mara Patani (Majlis Syura Patani) semalam di mana jurucakapnya Abu Hafez Al-Hakim menafikan dakwaan bahawa kumpulan itu belum bersedia bagi pelaksanaan Zon Keselamatan (SZ) di selatan Thailand.

Sambil melabelkan dakwaan itu sebagai “tidak berasas”,  Prayut berkata kedua-dua pihak mesti bersedia sepenuhnya dan komited sebelum SZ itu dilaksanakan. 

Mara Patani, yang menjadi rakan kerajaan dalam proses damai, dengan Malaysia sebagai fasilitator rundingan, merupakan organisasi penaung yang mewakili beberapa kumpulan selatan Thailand termasuk individu daripada kumpulan bersenjata yang paling berpengaruh di wilayah itu, Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Namun pengkritik mendakwa individu yang mewakili BRN di dalam Mara Patani tidak ada pengaruh dalam kumpulan itu, dengan “pemimpin sebenar” kumpulan itu tetap tidak diketahui dan berada di luar proses damai dan oleh itu ia menghalang usaha mencari penyelesaian kepada konflik itu.

Penganalisis juga mendakwa kegagalan untuk memujuk “pemimpin sebenar” di belakang BRN untuk menyertai proses damai sebagai penghalang utama bagi mencapai sebarang kemajuan yang substantif dalam proses damai.

Prayut juga berkata beliau menyedari mengenai keperluan untuk menyelesaikan konflik selatan Thailand memandangkan isu itu menarik perhatian masyarakat antarabangsa. – Bernama, 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen