AHMAD Zahid Hamidi memberi ruang penuh kepada timbalannya Mohamad Hasan menjalankan tugas-tugas sebagai presiden Umno untuk memantapkan semula parti, sepanjang beliau bercuti sejak pertengahan Disember lalu.
Bagaimanapun kata Zahid, 21 langkah yang beliau bentangkan dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno tahun lalu adalah garis panduan dan Mohamad boleh menambah langkah baharu yang dirasakan sesuai dengan keadaan semasa politik negara.
“Saya tidak mendapat maklum balas terhadap langkah-langkah yang dicadangkan oleh saya itu dilakukan.
“Saya beri peluang sepenuhnya kepada Tok Mat (Mohamad) sekiranya ada langkah-langkah baharu yang menambahkan apa yang telah saya sarankan, ataupun menukar langkah-langkah yang tidak bersesuaian untuk dijadikan sebagai langkah baharu, untuk memantapkan Umno dan juga mendapatkan sokongan semula kepada Umno.
Semasa Perhimpunan Agung Umno September tahun lalu, Zahid dalam ucapan dasarnya menggariskan tujuh teras sebagai strategi untuk membangunkan semula parti, yang di bawahnya terkandung 21 langkah pelaksanaan.

Tujuh teras itu merangkumi soal keahlian dan struktur parti, perkaderan dan latihan, penerangan serta program parti.
Menurut Zahid, langkah-langkah tersebut merupakan hala tuju parti supaya dapat mencapai semula kejayaan kembali berkuasa, dengan syarat ia perlu mendapat sokongan dan dukungan ahli.
Bagaimanapun tidak lama selepas perhimpunan tahunan itu, pimpinan dan ahli Umno di akar umbi mendesak Zahid letak jawatan selepas didakwa gagal mengawal parti sehingga hilang kepercayaan orang Melayu dan ahlinya sendiri.
Pada masa itu, Umno berdepan tekanan apabila makin ramai ahli Parlimennya bertindak keluar parti, termasuk tindakan keluar beramai-ramai wakil rakyat dan ketua bahagian Umno di Sabah.
“Tentunya ini amat menyukarkan saya ketika itu. Bagi saya yang paling utama bukan diri saya tetapi Umno dan Barisan Nasional.
“Oleh yang demikian saya mengambil langkah untuk tidak meneruskan tugas sebagai presiden Umno walaupun saya tidak menggunakan perkataan bercuti atau berehat, saya menggunakan perkataan memberikan kepercayaan kepada timbalan presiden untuk menjalankan tugas-tugas presiden,” katanya.
Zahid berpendapat tindakannya itu telah dapat meredakan keadaan dalam parti sehingga sekarang.
“Tetapi kita tidak boleh terlalu yakin tidak ada tindakan dari dalam atau luar (Umno) untuk terus menggamit mereka yang menjadi ahli parlimen atau Adun untuk menjadi katak politik, untuk berada di seberang longkang,” katanya.
Walaupun keadaan politik dalaman Umno kini tenang, Zahid berkata proses ‘jual beli’ ahli parlimen Umno masih berjalan sampai sekarang.
Ditanya mengenai dakwaan masih ada usaha menarik wakil rakyat Umno keluar parti, Zahid berkata: “Saya mendengar perkara yang sama tetapi yang penting 23,000 cawangan Umno, tiada cawangan yang terbubar termasuk di Sabah.” – 8 Mei, 2019
Komen