PUTRAJAYA perlu mencipta lebih banyak projek pembangunan yang boleh disertai kontraktor kecil Bumiputera dan bukannya menambah jumlah kontraktor dengan mengeluarkan lesen baharu, kata Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia.
Presidennya, Tukiman Radion berkata pihaknya dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah, lesen kontraktor kelas F itu akan dibuka kembali pada 9 Mei, sebagai “bonus” sempena ulang tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.
Pengeluaran lesen itu dihentikan oleh kerajaan pada 2005.
“Kami bantah (cadangan buka semula lesen kontraktor kelas F) kerana sekarang ini pun kontraktor kelas F sudah tidak lagi ada kerja.
“Apabila buka lesen baru, orang akan harapkan projek tetapi sekarang projek pun tidak ada. Kalau ada pun terlalu sedikit,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kontraktor kelas F, atau mengikut kelas terbaharu G1, mempunyai lesen untuk melaksanakan kerja di bawah RM200,000 dan lesen bagi kelas itu dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera.
Pengeluaran lesen baharu bagi kelas itu dihentikan pada Mac 2005 kerana pada masa itu jumlahnya sudah terlalu ramai iaitu 35,000 kontraktor. Sehingga Julai 2011, ada laporan bilangannya berkurangan kepada 28,982 susulan pelaksanaan beberapa syarat dan penguatkuasaan lebih ketat.
Pada 2014, kerajaan pada masa itu di bawah Barisan Nasional pernah bercadang mengeluarkan semula lesen baharu bagi kelas F namun turut dibantah oleh persatuan.
Menurut Tukiman, pada masa ini terdapat lebih kurang 26,000 kontraktor kelas F di seluruh Malaysia.
“Ada juga yang naik kepada kelas G2, tetapi ramai juga yang gulung tikar sebab tidak ada projek,” katanya.
Tukiman berkata, pihak persatuan sudah menghantar bantahan kepada Kementerian Kerja Raya bulan lepas.
“Pihak kementerian kata perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.
Jelas beliau, untuk mewujudkan persaingan sihat, Putrajaya seharusnya menyediakan kontrak yang cukup untuk diagihkan kepada kontraktor dan bukannya dengan menambah jumlah kontraktor.
Beliau menyebut misalan ada ahli persatuan yang tidak menerima sebarang kontrak sehingga tiga tahun berikutan jumlah kontraktor yang terlalu ramai dibandingkan jumlah kontrak yang dikeluarkan.
“Kalau nak buka semula lesen kontraktor, kerajaan kena pastikan kontraktor Kelas F terima projek bernilai RM300,000 setahun.
“Kalau ambil kira keuntungan 25%, kami akan ada pendapatan kira-kira RM75,000 setahun, barulah kerajaan boleh buka semula lesen kontraktor,” kata Tukiman.
Selain menyifatkan tindakan memberikan bonus berkenaan bukan langkah bijak, Tukiman turut menafikan pihaknya membantah pembukaan lesen baru itu semata-mata kerana sikap tamak.
“Kami bukan tamak, tapi ini kenyataannya, kontrak dikeluarkan tak banyak, tapi kalau berlaku penambahan kontraktor, persaingan lebih besar, kontraktor baru juga akan mengalami perkara yang sama kami lalui,” katanya. – 7 Mei, 2019.
Komen