BARISAN Nasional (BN) membuat keputusan menerima kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada pukul 10 malam 9 Mei setahun lalu, ketika undi belum lagi habis dikira, kerana pemimpinnya bersepakat tiada daya lagi untuk mereka terus kekal berkuasa, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight menjelang setahun selepas PRU14, Zahid berkata ada cadangan supaya BN membentuk kerjasama dengan parti lain untuk kekal di Putrajaya tetapi bekas perdana menteri Najib Razak akur gabungan itu tidak akan mengatasi jumlah kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Pendedahan Zahid mengenai apa yang berlaku pada malam 9 Mei setahun yang lalu membayangkan kenapa pengumuman rasmi BN ia kalah kepada PH hanya dibuat keesokan paginya.
“Ketika itu biarpun ada beberapa tokoh yang mencadangkan supaya kita lakukan kerjasama dan sebagainya, Najib ketika itu merasakan bahawa kita harus menghormati keputusan rakyat dan kita harus mengakui bahawa rakyat telah bertukar selera ketika itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kita merasakan kalau kita melakukan pakatan dengan parti lain sekalipun, mungkin dari segi jumlah kerusi tidak mencukupi (untuk membentuk kerajaan).”
Menjawab satu soalan lain, bekas timbalan perdana menteri itu berkata usaha untuk kerjasama itu sudah terlambat kerana BN sudah kalah.
“Ada dilakukan (usaha untuk bentuk gabungan) tetapi ketika itu Najib merasakan bahawa ia terlalu mendadak dan suntuk untuk mengadakan pakatan baharu,” katanya, dan menegaskan tiada panggilan telefon dibuat kepada mana-mana parti dalam gabungan PH.
“Kita merasakan bahawa parti-parti politik dalam kalangan pembangkang sendiri pun (pada masa itu) telah membuat pakatan secara rasmi dan saya tidak nampak jalan mereka akan bekerjasama dengan BN ketika itu.”
Menurut Zahid, PAS adalah parti yang diharapkan bergabung dengan BN tetapi “(parti Islam itu) hanya ada 18 kerusi sahaja dan tidak cukup.”
“Itu sebab walaupun pakatan cuba dilakukan tetapi kita tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Ditanya sama ada Najib menelefon Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang pada malam itu masih dirawat di Hospital Cheras sebagai tahanan, Zahid berkata: “Saya tidak pasti kerana saya tidak berada di situ ketika itu.”
Anwar dalam satu wawancara seminggu selepas PRU14, setelah dibebaskan dari penjara, mendedahkan Najib menelefonnya dua kali pada malam keputusan pilihan raya.
Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata beberapa pemimpin BN ada bersama pada malam itu ketika keputusan dibuat untuk menerima suara rakyat.
Jelas Zahid, beliau mula menerima berita keputusan pilihan raya seawal 7 malam ketika masih di Bagan Datuk, Perak. Setakat itu, beliau masih yakin BN berpeluang untuk menang.
Katanya, keadaan di kawasan Parlimennya tidak sama seperti di tempat lain kerana BN menang ketiga-tiga kerusi Parlimen dan negeri (Rungkup dan Hutan Melintang) termasuk merampas sebuah kerusi dewan undangan negeri.
“Perasaan saya bercampur baur selepas saya mendapat laporan daripada rakan-rakan di kawasan Parlimen yang lain, situasi agak berubah.”
Pada setiap malam pilihan raya umum, pemimpin BN biasanya berhimpun di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur menunggu keputusan sebelum pengumuman rasmi parti itu menang terpilih sekali lagi sebagai kerajaan.
Namun malam 9 Mei tahun lalu itu tidak sama.
“Apabila saya sampai (di PWTC) kira-kira jam 9 malam, saya lihat keputusan itu semakin tidak memihak kepada calon-calon BN ketika itu.
“Saya sangat bimbang dan bila saya menelefon PM (Najib) kemudian, beliau memutuskan untuk tidak hadir ke PWTC dan memantau keputusan di rumah.
“Akhirnya kami mengambil keputusan untuk ke rumah beliau. Ketika itu apabila keputusan memihak kepada pembangkang yang mencapai angka 100 kerusi parlimen, dan kita tidak mendapat kerusi yang kita jangka boleh menang di kerusi DUN, kita merasakan bahawa kita harus bersiap sedia untuk melakukan penyerahan kuasa kepada pihak yang telah dipilih oleh rakyat ketika itu.
“Kita harus akur dengan keputusan yang dibuat oleh rakyat,” katanya. – 7 Mei, 2019.
Komen