Budaya benci punca BN kalah PRU14, kata Zahid


Chan Kok Leong SM Amin

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengimbau kekalahan BN dalam pilihan raya umum, yang genap setahun minggu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Mei, 2019.

BARISAN Nasional (BN) kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana pembangkang pada masa itu, Pakatan Harapan (PH) menyemai budaya membenci Najib Razak dan pentadbirannya, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Apabila budaya kebencian ditanam dengan sangat kuat, ia benar-benar memberi kesan kepada rakyat.

“Dalam situasi itu, satu gelombang yang besar menolak BN timbul. Najib dalam ucapan terakhirnya di Pekan (pada malam sebelum pengundian) menawarkan beberapa perkara yang tidak terdapat dalam manifesto sebagai tawaran baharu tetapi mungkin ketika itu agak terlewat untuk diterima oleh pengundi.

“Perasaan untuk menukar kerajaan itu terlalu kuat dan harus diakui bahawa kempen pihak pembangkang menggunakan pendekatan supaya pusat graviti serangan itu terhadap Najib itu diputarkan dengan rasa kebencian.

“Ini menarik hati para pengundi ketika itu,” kata Zahid dalam satu pertemuan di pejabatnya di Yayasan Al-Falah di Kajang, baru-baru ini.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Zahid mengulas punca BN kalah pilihan raya selepas 61 tahun memerintah Malaysia.

“Ketika itu walaupun kita faham terdapat sentimen negatif di bawah, namun kita merasakan silent majority masih bersama-sama dengan kerajaan yang lalu. Kajian itu memberi gambaran terdapat sentimen anti-establishment.

“Mungkin ini adalah suatu bacaan yang tidak dapat dilihat dari segi apa yang tersirat tetapi yang tersurat tergambar bahawa kemenangan kepada Umno itu jelas, namun BN kalah.

“Kita melihat satu gelombang telah wujud dan kita menerima hakikat bahawa penyerahan kuasa itu harus teratur, mengikut perlembagaan,” kata bekas timbalan perdana menteri.

Berikut petikan wawancara tersebut:

TMI: Adakah Datuk Seri rasa BN akan kalah PRU14?

AZH: Sebelum PRU14 kita telah melakukan beberapa penyelidikan yang dibuat secara empirikal dan melalui soal selidik yang berstruktur terhadap kumpulan sasaran dan juga pemerhatian.

Ketika itu walaupun kita faham terdapat sentimen negatif di bawah, namun kita merasakan silent majority masih bersama kerajaan yang lalu. Kajian itu memberi gambaran bahawa terdapat sentimen anti-establishment.

Mungkin ini adalah suatu bacaan yang tidak dapat dilihat dari segi apa yang tersirat tetapi yang tersurat, tergambar bahawa kemenangan kepada Umno itu jelas, namun BN kalah.

Keputusan memperlihatkan kita hanya mempunyai 79 kerusi berbanding 113 kerusi yang dimenangi oleh pakatan pembangkang.

Kita melihat satu gelombang telah wujud dan kita menerima hakikat bahawa penyerahan kuasa itu harus teratur, mengikut perlembagaan dan juga mana-mana kumpulan atau parti politik yang mempunyai suara yang lebih harus membentuk kerajaan.

Walaupun ada pihak yang menjangkakan akan berlaku rusuhan jika BN dijatuhkan dan pengambilalihan (kuasa) itu berlaku, keadaan itu tidak berlaku dan proses demokrasi berjalan baik pada 9 Mei.

Najib Razak memeluk Ahmad Zahid Hamidi selepas membuat pengumuman rasmi kekalahan Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 10 Mei 2018. – Gambar EPA, 7 Mei, 2019.

TMI: Apa punca sentimen anti kerajaan itu?

AZH: Isu dibangkitkan oleh pembangkang ketika itu pada pendapat rakyat khususnya pengundi memihak kepada mereka contohnya soal kos sara hidup, janji turunkan harga minyak, hapuskan hutang PTPTN dan hapuskan hutang peneroka Felda.

Ini antara beberapa isu yang dimainkan, yang jelas apabila kerajaan baharu terbentuk, ia tidak dapat dilaksanakan.

TMI: Tidakkah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan populariti perdana menteri (Najib) yang menurun juga kritikal semasa PRU14?

AZH: Walaupun 1MDB satu isu besar dalam kalangan pemimpin pembangkang ketika itu, tetapi di akar umbi mereka tidak jadikan isu itu sebagai isu penting. Begitu juga dengan isu kepimpinan utama negara.

Yang terlalu dekat di hati mereka adalah soal kehidupan harian mereka dan apabila dijanjikan kehidupan harian yagn lebih baik, ini cukup menarik minat mereka untuk menukar “baju politik” pada 9 Mei.

Mereka mahu semua janji itu dilaksanakan dengan terbentuk kerajaan baharu ketika itu.

TMI: Kenapa kos sara hidup jadi isu sedang KDNK semasa pentadbiran BN agak tinggi?

AZH: Dari segi Indeks Harga Pengguna (CPI), memang ada kenaikan kos sara hidup tetapi tidak setinggi CPI sekarang ini. Ini bermakna apabila regim percukaian bertukar daripada GST kepada SST, ia tidak menampakkan penurunan harga barangan pengguna.

Apabila regim percukaian itu ditukar kepada SST, CPI itu meningkat.

Ini menyebabkan hilang sentimen kepercayaan daripada pelabur domestik dan juga pelabur asing di mana KDNK memperlihatkan penurunan yang amat drastik. Walaupun fundamental ekonomi masih kukuh, namun pasaran juga terkait dengan soal sentimen.

Pendapatan negara juga berkurangan apabila GST dengan sasaran kutipan melebihi RM40 bilion dihapuskan. SST bukan sahaja tidak mengurangkan harga barangan tetapi juga mengurangkan pendapatan negara. Ada korelasi antara KDNK dengan perubahan regim percukaian.

Kepercayaan rakyat yang mengharapkan adanya perubahan bertukar kepada rasa kemarahan.

Kajian sebuah institusi penyelidikan memperlihatkan bahawa harapan yang tinggi pada suatu ketika berada pada 80% terhadap kerajaan baharu menurun kepada 39%.

Realiti dalam kalangan rakyat adalah ekonomi tidak berkembang dengan lebih baik, malah harga pengguna juga tidak menurun. Banyak yang bertukar, berbeza dengan persepsi yang diharapkan oleh mereka suatu ketika dahulu.

TMI: Adakah Datuk Seri sudah dapat rasa semasa kempen yang BN akan kalah?

AZH: Tidak ramai yang dapat membaca sentimen di bawah. Hanya terdapat satu kajian yang dibuat oleh badan bebas yang mengatakan bahawa sentimen penolakan terhadap kerajaan sangat tinggi.

Ini diatasi dengan beberapa langkah yang dibuat pada saat akhir namun bagi saya langkah itu agak terlewat. – 7 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen