BARISAN Nasional (BN) boleh menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya memeterai secara rasmi kerjasama dengan PAS sebelum pilihan raya, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya merasakan bahawa biarpun ada perbincangan dengan pihak PAS terutamanya bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru, itu tidak direalisasikan.
“Itu patut dibuat awal dengan pihak PAS ketika itu,” katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di Yayasan Al-Falah di Kajang, baru-baru ini.
Jelas beliau, BN dan PAS juga tidak merancang untuk membentuk kerajaan bersama di beberapa negeri seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Sepatutnya perkara itu dilakukan dan dimeteraikan perjanjian itu sebelum PRU14,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) menang 29 daripada 59 kerusi di Perak sementara BN menang 27 kerusi dan PAS 3 kerusi. PH membentuk kerajaan negeri tiga hari selepas PRU14 setelah dua wakil rakyat BN mengumumkan sokongan kepadanya.
Zahid mengakui rundingan Umno dengan PAS bermula semasa parti di bawah kepimpinan Najib Razak iaitu sebelum PRU14. Bagaimanapun beliau tidak tahu menahu sejauh mana Umno memberikan dana kepada parti Islam itu.
“Saya terus terang tidak tahu tentang pemindahan wang. Apa yang saya tahu ada rundingan tidak formal dengan PAS. Najib dan saya, bersama dan secara individu, berbincang dengan mereka.
“Silapnya, seperti yang saya katakan tadi, rundingan itu tidak dimeterai secara rasmi.”
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Zahid juga berkongsi pandangannya tentang kerajaan PH setelah setahun mentadbir. Beliau juga menyentuh tentang cabaran yang dihadapinya sebagai presiden Umno.
Berikut petikan wawancara tersebut:
TMI: Adakah apa-apa yang BN boleh lakukan untuk elak kalah PRU14?
AZH: Saya merasakan bahawa biarpun ada perbincangan dengan pihak PAS terutamanya bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru, itu tidak direalisasikan. Itu patut dibuat awal dengan pihak PAS ketika itu.
Keduanya untuk di beberapa negeri seperti di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka umpamanya, kerjasama dengan PAS juga tidak dirancang untuk membentuk kerajaan negeri. Sepatutnya perkara itu dilakukan dan dimeterai perjanjian itu sebelum PRU14.
TMI: Oleh sebab cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada masa itu jadi isu utama, adakah cadangan untuk mengurangkan kadarnya atau menghapuskannya?

AZH: Tidak ada keputusan (seperti itu) kerana kita merasakan GST itu adalah satu regim percukaian yang baik dan kita telah melakukan penjelasan.
Begitu juga dengan (pinjaman pelajaran) PTPTN, kita telah menawarkan supaya pelajar yang meminjam PTPTN dikeluarkan daripada membayar balik jika dapat ijazah sarjana muda kelas pertama, pengurangan dilakukan terhadap pembayaran semula dan sebagainya.
Tetapi mungkin kerana tohmahan dan fitnah serta janji PH itu lebih menarik bagi mereka walaupun ia tidak dapat ditunaikan, maka gelombang itu terlalu besar untuk kita melakukan penjelasan.
TMI: Bagaimana Datuk Seri menilai prestasi kerajaan PH dalam tempoh setahun ini?
AZH: Tidak adil bagi saya untuk melakukan penilaian terhadap prestasi kerajaan Malaysia Baharu ini dan juga pencapaian mana-mana ahli jemaah menteri kerana rakyat adalah kumpulan sasaran yang paling layak untuk menilai.
Dahulu setiap tahun kita dinilai oleh perdana menteri bersama (bekas ketua Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan – Pemandu) Idris Jala. Kita bukan sahaja dikenakan KPI tetapi diperincikan pencapaian tiap-tiap portfolio kementerian masing-masing.
Apa yang berlaku sekarang ini adalah blame game, seolah-olah apa jua yang dilakukan oleh BN walaupun baik telah dinafikan.
BN dituduh dengan pelbagai dakwaan seperti menjual negara, menipu rakyat dan sebagainya tetapi akhirnya yang berlaku pada hari ini adalah PH bukan sahaja menjenamakan semula semua projek BN tetapi dasar kerajaan juga ditukar nama.
Rakyat merasakan kerajaan pada hari ini tidak melakukan lebih daripada apa yang dilakukan oleh BN selama ini.
TMI: Apa komen Datuk Seri tentang alasan kerajaan PH tidak boleh tunaikan manifesto kerana hutang yang diwarisi daripada kerajaan dulu?
AZH: Mana-mana kerajaan yang mengambil alih daripada pentadbiran terdahulu pasti menanggung semua sekali aset dan liabiliti. Kena terima hakikat ini. Ini adalah tanggungjawab negara.
Untuk menyalahkan 100% hutang negara tinggi disebabkan oleh beberapa isu yang timbul tidak kena, ketika jelas bahawa hutang negara hanya RM686 bilion, bukan RM1 trilion seperti yang dilemparkan oleh PH. Institusi kewangan antarabangsa turut mengesahkan perkara ini.
Mereka sedang berhadapan dengan situasi bahawa penukaran regim percukaian daripada GST ke SST adalah satu langkah silap. Saya fikir mereka akan lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan lama tidak semuanya buruk.
TMI: Adakah PH akan jadi kerajaan sepenggal?
AZH: Perasaan dan pandangan rakyat memang mula berubah. Dalam dasar kepengikutan, apabila kebolehpercayaan menjadi satu kemarahan, ia akan meningkat kepada rasa meluat, dan rasa meluat itu akan bertukar kepada penolakan.
Mana-mana perasaan negatif yang dirasai oleh rakyat adalah sangat positif untuk kita.
TMI: Apa cabaran semasa mula menjadi presiden Umno dan pengerusi BN tahun lepas?
AZH: Ada trust deficit terhadap Umno dan BN dalam kalangan pengundi dan ahli parti. Sesiapa pun yang memimpin Umno dan BN terpaksa berdepan dengan keadaan ini.
Ini berlaku pada beberapa parti di Eropah dan Asia apabila mereka hilang kuasa sebagai kerajaan. Ini juga berlaku pada wakil rakyat dan ahli parti.
Itu cabaran pertama saya.
Dalam pilihan raya kecil pertama di Sungai Kandis, BN kalah lagi sekali kerana PH masih dalam tempoh bulan madu dan harapan masih lagi tinggi. Sama juga di Seri Setia walaupun pada masa itu sudah ada kerjasama antara Umno dan PAS. Kerjasama pada masa itu tidak sampai ke peringkat akar umbi.

Kerjasama Umno dan PAS berjaya di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Isu hilang keyakinan itu sudah diatasi. Kekecewaan terhadap kerajaan sekarang, ditambah dengan kerjasama Umno dan PAS membolehkan kita menang tiga pilihan raya kecil yang terakhir.
Apa yang menjauhkan pengundi sebelum ini (kerjasama Umno dan PAS) sekarang membantu kita.
Walaupun saya sudah gariskan pada Perhimpunan Agung Umno yang lepas, beberapa wakil rakyat keluar parti. Ini menyusahkan lagi kerja saya.
Keutamaan saya bukannya diri saya tetapi parti dan BN. Oleh sebab itu saya putuskan untuk tidak teruskan tugas sebagai presiden Umno.
Ini meredakan keadaan tetapi kita tidak boleh kata tiada lagi usaha (dalaman dan luaran) untuk menarik wakil rakyat kita.
TMI: Apakah usaha jual beli ahli parlimen Umno masih berjalan?
AZH: Saya mendengar perkara yang sama tetapi yang penting 23,000 cawangan Umno, tiada cawangan yang terbubar termasuk di Sabah.
Mungkin ada ketua bahagian di Sabah yang menjadi Adun atau ahli Parlimen bertukar parti tetapi kita lihat munculnya pelapis baharu yang mengambil alih kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian. Ini semakin memantapkan Umno.
TMI: Adakah kerjasama dengan PAS sebahagian usaha menstabilkan Umno dan BN?
AZH: Ya, itu antara langkah yang berkesan sekarang.
TMI: Pakatan mendakwa kerjasama Umno dan PAS sudah ada sebelum PRU14 dan Umno memberi duit kepada PAS. Adakah dakwaan itu betul?
AZH: Saya terus terang tidak tahu tentang pemindahan wang. Apa yang saya tahu ada rundingan tidak formal dengan PAS. Najib dan saya, bersama dan secara individu, berbincang dengan mereka.
Silapnya, seperti yang saya katakan tadi, rundingan itu tidak dimeterai secara rasmi. – 7 Mei, 2019.
Komen