Tindakan Pakatan tidak selari dengan janji, kata kumpulan masyarakat sivil


Mikha Chan

Article 19 dan Civicus hari ini mengeluarkan laporan menilai prestasi tahun pertama Pakatan Harapan berkuasa dan menegur kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad menarik balik tindakan melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Mei, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) banyak berpatah balik daripada komitmen dan janji manifestonya sejak mengambil alih kuasa tahun lalu, kata kumpulan masyarakat sivil Artikel 19 dan Civicus dalam laporan bersama mereka.

Laporan bertajuk “Pemerintahan Baru, Taktik Lama” merujuk kepada penarikan balik keputusan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom selepas menerima tekanan daripada kumpulan sayap kanan.

“Kegagalan dan kelemahan ini jelas menunjukkan kekurangan kehendak politik oleh kerajaan PH untuk mematuhi komitmennya dan mengambil tindakan tegas yang diperlukan untuk melindungi dan menggalakkan hak asasi manusia di Malaysia,” kata laporan itu.

“Article 19 dan Civicus belum melihat pindaan dicadangkan, membangkitkan kebimbangan mengenai niat pemerintah dan kekurangan ketelusan dengan proses pembaharuan.”

Semakan itu mengkritik kekurangan tindakan kerajaan memansuhkan dan memperbaharui Akta Hasutan 1948, Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Rahsia Rasmi.

Para hadirin mendengar pembentangan laporan semakan menilai prestasi tahun pertama Pakatan Harapan berkuasa di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Mei, 2019.

“Terdapat penggunaan berterusan Akta Komunikasi dan Multimedia oleh kerajaan semasa. Penyiasatan posting di media sosial dan laporan polis juga mewujudkan persekitaran menakutkan bagi rakyat Malaysia,” kata Nalini Elumalai daripada Article 19, bercakap semasa pelancaran laporan itu di Kuala Lumpur hari ini.

“Ia sangat tidak konsisten dengan kerajaan yang cakap lain, buat lain. Jika anda komited melakukan reformasi undang-undang, perlulah konsisten dengan tidak menggunakannya.”

Zaharom Nain, seorang profesor kajian media dan komunikasi, berkata penggunaan undang-undang ini menjadikan reformasi kerajaan yang diisytiharkan sebagai “agak menghina”.

Beliau berkata kerajaan cenderung menangani isu seperti penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian dengan mewujudkan undang-undang, pendekatan yang beliau sifatkan gagal mengambil kira sepenuhnya “sebab dan akibat”.

Zaharom juga berkata walaupun terdapat kebebasan akhbar yang semakin meningkat sejak pengambilalihan PH, sesetengah organisasi media arus perdana gagal menjelaskan penekanan mereka berhubung kaum dan agama dalam melaporkan serta memberi ulasan mengenai politik Malaysia.

“Pembaharuan institusi juga diperlukan untuk menjadikan media milik negara, seperti RTM, berkhidmat kepada orang awam dan bukannya kerajaan,” katanya.

 “Terdapat keengganan untuk menyebarkan naratif alternatif yang selari dengan pembaharuan dan agenda kerajaan yang diisytiharkan.” – 6 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen