Semoga Mei membawa lebih banyak kebaikan


Jahabar Sadiq

Umat Islam mula berpuasa hari ini dan tarawih malam pertama selamat disempurnakan malam tadi. Mei tahun ini membawa pelbagai perkara penting bagi Malaysia, termasuk daripada segi politik dalam kepelbagaian kaum dan agama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Mei, 2019.

INI minggu yang besar bagi Malaysia. Orang Islam mula berpuasa hari ini bermula pagi hingga senja untuk 30 hari, dengan mengelak makan dan minum tetapi tetap meningkatkan ekonomi dengan membeli lebih banyak di bazar Ramadan.

Pada minggu ini ulang tahun pertama pilihan raya umum 9 Mei yang menghumbankan Barisan Nasional dan membawa Pakatan Harapan (PH) ke puncak kuasa. Namun prestasinya ditanggapi dengan pandangan berbeza, termasuk oleh penyokong kuat mereka.

Pada minggu ini juga ulang tahun ke-50 rusuhan kaum 13 Mei, satu insiden yang sentiasa digunakan untuk mengingatkan rakyat Malaysia – siapa yang patut berkuasa dan siapa yang patut berdiam diri. Mujurlah, ia berakhir pada 9 Mei lalu.

Ulang tahun tiga peristiwa ini berlaku pada minggu ini dan kita patut melihat semula sejauh mana kita berkembang menjadi matang sebagai sebuah negara.

Sebagai contoh, Ramadan. Lebih ramai rakyat Malaysia daripada agama berbeza berpuasa dari pagi hingga senja. Tapi, ada yang hanya melihat mereka sebagai pengacau, orang kafir yang tidak berhak ke syurga. Ini menyimpang dari satu tujuan besar untuk berpuasa pada bulan Ramadan.

Berpuasa pada bulan Ramadan bukan hanya menahan diri daripada menikmati makanan, minuman, seks dan sebagainya. Ia juga melibatkan perkara yang kita keluarkan – kebencian, fitnah, gosip, permusuhan, dan segala perkara yang dianggap kejahatan dalam masyarakat bertamadun.

Ini adalah bulan kecintaan, kebajikan dan belas kasihan – dengan berkongsi suka duka hidup. Tentulah setiap agama menganjurkan sedemikian, lebih-lebih lagi ahli kitab.

Adakah orang Islam akan menunjukkan teladan ini dan bukannya merengus mengenai ancaman ke atas hak yang tidak wujud dalam Islam? Mungkin kita tidak mendalami kefahaman agama kita sendiri.

Dalam erti kata tersebut, mungkin terlalu awal untuk kita menghakimi PH pada 9 Mei atas kegagalan menunaikan janji pilihan raya. Kempen mereka tertumpu kepada penyelewengan dilakukan semasa Najib Razak berkuasa.

Kini beliau tidak lagi berkuasa dan diheret ke kandang tertuduh dengan lebih 40 tuduhan. Namun beliau bebas mengulas dan mempertahankan dirinya. Bolehkah kita mengadakan bantahan demi bantahan sewaktu beliau berkuasa?

Sebaliknya, kita melihat skandal demi skandal didedahkan oleh bekas pemimpin lama dan baharu dalam kerajaan. Kerajaan yang berbeza personaliti dan falsafah bekerjasama buat kali pertama.

Benar, kerajaan perlu ditekan atas janji yang tidak ditunaikan dalam tahun pertama pentadbiran. Mereka perlu bertanggungjawab atas setiap kesalahan tetapi kita perlu sentiasa melihat gambaran besar Malaysia dengan tahap pembangunan dan kekayaan yang berbeza.

Yang miskin tetap miskin, tidak kira betapa tinggi pencakar langsung atau berapa baik jalan dan landasan kereta api.

Kerajaan baharu Dr Mahathir Mohamad perlu mengekalkan keutamaan pada ekonomi dan pendidikan untuk semua, serta kesamaan dan kesaksamaan.

Tempoh kuasa mereka hanyalah selama 18 minit daripada keseluruhan 90 minit, jika diibaratkan sebagai perlawanan bola sepak. Mereka masih ada masa untuk memperbaiki kedudukan.

Kita baru saja pulih daripada peristiwa hitam 13 Mei, 1969. Rusuhan kaum itu tercetus daripada kemenangan dan kekalahan pilihan raya, dan menumpahkan darah apabila kumpulan yang berasa terancam menyembelih rakyat Malaysia daripada kaum berbeza.

Kadang kala, seolah-olah kita kembali merosot ke zaman tersebut. Ada kalanya, kita diingatkan supaya meluruskan tindakan jika tidak mahu kembali ke zaman tersebut.

Tidak. Kita tidak akan dan tidak boleh kembali. Ini negara untuk semua rakyat Malaysia, bukan beberapa orang yang berasa lebih berhak disebabkan kedudukan, keistimewaan, kaum, jantina atau agama.

Malaysia berperanan lebih baik jika rakyatnya bekerjasama sebagai rakyat Malaysia dan bukan dalam silo kaum atau agama. Jika perlu mengetahui perkara ini dan tidak tunjuk atau menurut pihak yang mahu memisahkan kita dengan ketaksuban dan jingoisme.

Kita harus bertindak lebih baik dari itu. Jika tidak, Malaysia yang kita kenali, dari Perlis di utara hingga ke Johor di selatan dan Sabah di timur hanyalah serumpun negeri yang saling bertentangan.

Kita membuat perubahan kerana kita mahu keadaan lebih baik. Keadaan itu hanya boleh dicapai jika kita bekerjasama.

Selamat menyambut Ramadan yang penuh rahmat. – 6 Mei, 2019.

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen