Kenapa pembaharuan institusi masih tak dilaksana, Zunar tanya Pakatan


Looi Sue-Chern

Zunar (kiri) bersama-sama Anwar Ibrahim (tengah) yang merasmikan pameran karyanya di Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 5 Mei, 2019.

PAKATAN Harapan sudah setahun berkuasa tetapi mengapa usaha pembaharuan institusi masih belum dilaksana, tanya kartunis terkenal Zunar hari ini.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata, beliau tidak berharap PH boleh memulihkan ekonomi dalam masa terdekat kerana masalah korupsi yang membelenggu sistem negara, tetapi pentadbiran itu sepatutnya memulakan usaha pembaharuan institusi.

“Apa yang mustahak sekarang adalah pembaharuan institusi dan undang-undang. Tidak ada apa yang berlaku sekarang.

“Kita boleh nampak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bebas menahan, tetapi yang ditahan adalah orang pentadbiran lama dan bukannya mereka yang berkuasa sekarang.

“Bercakap tentang kebebasan media, kita masih ada undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Jadi kita tak boleh jamin (kebebasan media),” katanya kepada wartawan pada majlis perasmian pameran Art of Freedom di Galeri Pulau Pinang, Dewan Sri Pinang hari ini.

Zunar berkata negara perlu melaksanakan pembaharuan itu sekarang, dan tidak boleh bergantung kepada karakter dan kehendak perdana menteri semasa untuk menentukan kemajuan proses tersebut.

“Jika PM suka bangunan, kita akan ada banyak bangunan. Jika PM suka tidur, kita pun jadi ‘slow’.”

Zunar hari ini mengkritik Pakatan Harapan, yang disifatkannya lambat melakukan usaha pembaharuan institusi seperti kebebasan media dan korupsi. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 5 Mei, 2019.

Zunar turut meluahkan kekecewaan terhadap kelembapan pelaksanaan pembaharuan dalam ucapannya di hadapan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang merasmikan pameran karyanya.

Beliau turut memberitahu hadirin hampir 200 orang supaya jangan fikir beliau tidak akan menghasilkan karya yang kritikal terhadap pentadbiran PH.

Tambahnya lagi, rakyat tidak mahu melihat PH mentadbir seperti BN yang berkuasa selama 60 tahun.

“Ramai orang tak puas hati sekarang, walaupun kerajaan sudah berubah. Ramai orang ingat tugas mereka sebagai rakyat sudah berakhir 10 Mei tahun lepas.

“Mereka ingat sekarang masanya untuk membuat tuntutan kepada kerajaan (baharu), dan buat bising di Facebook. Tetapi, cara berfikir ini salah. Tugas (sebagai rakyat) masih belum selesai.

“Kita perlu bersatu untuk bangunkan negara. Ia bukan hanya tugas kerajaan dan ahli politik. Sebagai kartunis, saya akan terus buat kerja saya,” katanya.

Zunar juga sempat berseloroh yang tugasnya kini sukar tanpa “sumber ilhamnya”, Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

“Dia sangat ‘cartoonable’. Sekarang saya rindu dia. Saya susah nak melukis, jadi tertekan.

“Saya sampai jumpa doktor yang beritahu saya ada Sindorm Pasca-Rosmah. Katanya, ia sementara. Saya akan jumpa orang lain (untuk inspirasi saya),” katanya berjenaka.

Zunar perlu terus berani dan bebas menghasilkan karya yang mengkritik penguasa termasuklah Pakatan Harapan, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 5 Mei, 2019.

Tambah Zunar lagi, beliau sedang merancang untuk menerbitkan buku kartun untuk mendidik kanak-kanak tentang bahaya korupsi. Beliau dan beberapa rakan sedang berbincang tentang kandungan buku tersebut.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya memuji Zunar, menyifatkan kartunis itu sebagai “intelektual awam”, penulis hebat dan pengarang yang bagus, dan sebahagian daripada pergerakan Reformasi selama 20 tahun.

Kata ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, bukan semua orang ada bakat, kemampuan intelektual untuk memahami isu politik dan sentimen rakyat, serta keberanian untuk menggunakan seni bagi mengkritik penguasa.

Tambahnya, Zunar perlu terus bekerja, menjadi “menakutkan dan bebas”, termasuklah terpaksa mengecam pemimpin PH. 

“Saya tengok beberapa karya terbarunya. Walaupun kita tak akan teruja seperti mana bila tengok lukisannya tentang Najib dan Rosmah, kita mengakui dan menerima kritikannya.

“Antara (sebab)nya, saya kesal dan malu sebab kami dalam kerajaan PH tak buat lebih baik,” katanya. – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen