AUNG San Suu Kyi memecahkan kebisuannya tentang krisis Rohingya di Myanmar dan berkata kerajaannya masih perlu mengenal pasti apakah masalah sebenar di wilayah Rakhine serta menyiasat dakwaan pelbagai pihak sebelum tindakan boleh diambil.
Dalam kenyataan pertamanya sejak serangan tentera ke atas masyarakat minoriti Rohingya memuncak pada akhir Ogos, Suu Kyi berkata kerajaannya sedar akan perhatian yang diberikan oleh dunia kepada keadaan yang sedang berlaku.
“Sebagai anggota masyarakat dunia yang bertanggungjawab, Myanmar tidak bimbang dengan pemantauan dunia.
“Kami juga prihatin. Kami mahu tahu apa masalah sebenarnya. Ada banyak dakwaan dan dakwaan balas. Kami perlu mendengar dakwaan semua pihak.
“Kami perlu pastikan semua dakwaan itu ada bukti yang kukuh sebelum kami mengambil tindakan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen di Myanmar.
Ini adalah kenyataan pertama tokoh penerima Hadiah Nobel Keamanan itu selepas dikecam hebat oleh dunia kerana berdiam diri ketika puluhan ribu etnik minoriti Rohingya melarikan diri merentas sempadan Bangladesh untuk berlindung daripada serangan tentera Myanmar di utara Rakhine.
Pertubuhan Bangsa Bersatu sebelum ini menyifatkan apa yang berlaku di wilayah itu sebagai “pembersihan etnik” bertujuan mengusir etnik Rohingya selama-lamanya dari Myanmar.
Sejumlah antara 300,000 hingga 400,000 pelarian Rohingya sudah menyeberang masuk ke sempadan Bangladesh untuk mencari perlindungan, lapor media antarabangsa.
“Kerajaan Myanmar bukannya mahu menyalahkan sesiapa atau mengelak daripada bertanggungjawab. Kita mengutuk sebarang pencabulan hak asasi manusia dan keganasan yang bertentangan dengan undang-undang,” kata Suu Kyi.
“Kita komited pada usaha mengembalikan keamanan, kestabilan dan kedaulatan undang-undang di negara ini.”
Suu Kyi sebelum ini membisu seribu bahasa, cuma hanya melalui panggilan telefon bersama presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan, beliau dilaporkan berkata kekacauan ini dicetuskan oleh “pengganas”.
Dalam ucapan lebih kurang 30 minit itu, Suu Kyi membayangkan keprihatinan kerajaan Myanmar terhadap nasib pelarian, lapor The Guardian.
“Kita bimbang mendengar ramai orang Islam melarikan diri ke sempadan Bangladesh. Kita mahu tahu kenapa ini berlaku,” katanya.
Suu Kyi juga berkata kerajaan Myanmar sedia pada bila-bila masa menerima semula semua pelarian itu dengan syarat mereka melalui proses pengesahan.
Beliau turut menggesa dunia melihat Myanmar secara menyeluruh dan melahirkan rasa kesalnya kerana masyarakat dunia memberikan perhatian hanya kepada satu daripada sekian banyak masalah yang dihadapi oleh negara itu.
Suu Kyi sebelum ini membatalkan kehadirannya ke Perhimpunan Agung PBB di New York yang berlangsung minggu ini. Jurucakapnya memberitahu media sebelum ucapannya hari ini yang Suu Kyi akan “berterus terang kepada dunia.”
Beberapa pihak di Myanmar selama ini menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh, namun Bangladesh juga sebaliknya menganggap mereka sebagai rakyat Myanmar. – 19 September, 2017.
Komen