Kenapa Malaysia bebaskan majikan, soal ibu amah Indonesia


Looi Sue-Chern

Yohana Sau-Banunaek, ibu kepada Adelina Sao, pembantu rumah yang didakwa didera hingga mati di Pulau Pinang tahun lalu mempersoalkan tindakan Malaysia membebaskan majikan yang dituduh membunuhnya, menerusi satu rakaman video. – Gambar YouTube, 5 Mei, 2019.

YOHANA Sau-Banunaek, ibu kepada Adelina Sao, pembantu rumah yang didakwa didera oleh majikannya hingga mati di Pulau Pinang tahun lalu, mendesak Malaysia menjawab kenapa pembunuh anaknya itu dibebaskan.

Dalam satu video dimuat naik di YouTube pada Jumaat, Yohana berkata beliau kesal kerana sebagai ibu yang susah payah melahirkan Adelina, tetapi majikan yang membunuh anaknya itu bebas.

“Dia (Adelina) tinggalkan kampung supaya dia dapat membiayai kami di rumah.

“Saya tidak boleh terima ini. Keluarga Adelina juga tidak boleh terima ini. Kenapa majikannya dibebaskan?,” kata Yohana dalam bahasa ibudanya.

Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada Februari tahun lalu selepas mengalami penderaan fizikal dan emosi ketika bekerja secara haram sebagai pembantu rumah.

Keadaannya didedahkan oleh jiran yang nampak beliau tidur di luar bersama anjing keluarga majikannya. Mereka kemudian memaklumkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, yang membantu membuat laporan polis.

Majikannya, M.A.S. Ambika kemudian ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh tetapi dibebaskan daripada pertuduhan itu bulan lalu selepas pihak pendakwa memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu.

Dalam video yang disertakan sari kata Bahasa Inggeris, Yohana berkata jika Malaysia boleh bebaskan majikan itu, maka dia sepatutnya dihantar ke Kupang di wilayah Nusa Tenggara timur, di mana keluarga Adelina dapat “bertemunya”.

“Anak saya meninggal dunia bukan kerana dia sakit, tetapi kerana dia diseksa. Dia tidur dengan anjing, makan dengan anjing.

“Keluarga saya tidak dapat terima semua ini,” katanya yang menahan sebak.

Dalam video berdurasi dua minit itu. Yohana berulang kali bertanya bagaimana Ambika boleh dibebaskan dan apa yang berlaku hingga pertuduhan bunuh terhadapnya digugurkan.

Katanya, apa yang keluarga Adelina mahukan ialah majikan itu dibicarakan secara adil di mahkamah, mengikut undang-undang Malaysia.

Beliau juga meminta kerajaan, NGO dan pemimpin agama seperti di Gereja Evangelical Church of Timor (GMIT) membantu keluarganya mendapatkan keadilan untuk Adelina.

Kesedihan Yohana dan kekecewaan keluarganya turut dilaporkan oleh stesen televisyen Kupang TVRI Nusa Tenggara Timur. Laporan berita itu turut dimuat naik ke YouTube.

Dilaporkan baru-baru ini, Pejabat Peguam Negara sedang menyiasat mengapa pertuduhan terhadap Ambika digugurkan. – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen