Aliff Syukri sengaja cari perhatian, kata TPM


Mikha Chan

Wan Azizah yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan selebriti itu memuat naik video berkenaan menerusi Instagram untuk mendapatkan perhatian umum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Mei, 2019.

SELEBRITI Aliff Syukri hanya mahu menarik perhatian apabila memaparkan rakaman video beliau merawat luka anak perempuan selepas dipukul kerana tidak pakai tudung, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, tindakan Aliff yang juga ahli perniagaan barangan komestik itu sesuatu yang bermasalah dan tidak kena.

Wan Azizah yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan selebriti itu memuat naik video berkenaan menerusi Instagram semata-mata mahu mencuri perhatian perhatian umum.

“Ini bermasalah. Beliau mahukan perhatian. Itu merupakan sebahagian strateginya, tetapi kita mahu mengutamakan kepentingan buat kanak-kanak itu.

“Sebab itulah kita perlu tekankan ‘good parenting’,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Pandan, di Ampang, hari ini.

Wan Azizah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyiasat perkara itu selepas satu laporan polis dibuat kumpulan hak asasi kanak-kanak, Protect and Save the Children pada 2 Mei lalu.

Pegawai jabatan itu sudah melawat kanak-kanak itu dan keluarganya semalam, dan mendapati tiada kesan negatif secara fizikal dan psikologi ke atas Qadejah El Zahra, 9, atau nama timangannya Cess, dan perkara itu akan dirujuk ke hospital untuk laporan lanjut.

“Kita tahu niatnya (Aliff Syukri) untuk mendidik anaknya, tapi (dia) dipamerkan (kongsi video). Jika (dilihat) keterlaluan memang JKM telah ambil tindakan,” katanya.

Pada 24 April lalu, Allif menyiarkan video beliau merotan anak perempuannya itu atas alasan mahu mengajar tentang maruah perempuan selepas beliau mendakwa anaknya itu suka membuka tudung di depan lelaki yang tidak dikenali.

Video itu ditonton lebih 986,000 dan masih kekal dalam laman Instagramnya yang mempunyai 3.1 juta pengikut.

Beliau kemudiannya menyiarkan satu lagi video pada 30 April untuk membalas kritikan pengguna media sosial atas tindakannya sebelum ini dan meminta mereka supaya tidak mencampur urusannya dalam menjaga anak. – 4 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen