.jpg)
NASIONALISME Melayu pada zaman ini hanya boleh digugahkan kembali jika para pemimpin politik Melayu itu berani merekayasa jati diri bangsanya sendiri. Pemimpin itu mesti mempunyai iltizam, ilmu dan hikmah untuk bukan sahaja mengembalikan semula kepercayaan rakyat Malaysia kepada Umno, tetapi juga memimpin parti ini dan ahli-ahlinya ke arah yang lebih baik.
Zaman sudah berubah. Tuntutan dunia ini berkehendak agar orang Melayu menjadi lebih matang, berpandangan luas dan moden. Pada masa yang sama tetap membumi, beridentiti dan berbudaya.
Surat ini ditulis, bersempena setahun jatuhnya kerajaan Negeri Johor ke tangan Pakatan Harapan.
Setahun jugalah Umno Johor terpaksa menerima realiti bahawa orang Melayu ini merdeka mindanya dan tidak boleh dimomok-momok lagi dengan retorik yang biasa mereka dengar selama ini.
Di sini, mahu saya terangkan bahawa, sebagai sebuah parti politik Melayu, Umno tidak hanya mempunyai tujuan dan bebanan politik untuk menang semua kerusi yang dipertandingkan di pilihan raya. Itu bukanlah tugas hakiki Umno.
Umno adalah lebih daripada itu. Ia memegang kunci kesedaran orang Melayu. Ia bertanggungjawab untuk mendidik orang Melayu dan mereka satu pembawakan baharu terhadap cara bangsa ini berfikir, berpolitik, berekonomi, dan berhubung dengan bangsa lain.
Anjakan paradigma bangsa ini, terletak di atas bahu setiap ahli Umno. Parti merupakan sebuah medan pencerahan orang Melayu.
Jika bodohnya orang Melayu, maka bodohlah Umno. Jika miskinnya orang Melayu, maka miskinlah Umno. Jika culasnya orang Melayu, maka culaslah Umno.
Begitu besar bebanan Umno. Lebih-lebih lagi di Johor. Amat rugi sekali apabila Umno Johor, di negeri lahirnya parti keramat ini, tidak berupaya membangkitkan kembali semangat nasionalisma Melayu pasca Pilihan Raya Umno ke-14. Nasionalisme yang mandiri, yang merakyat dan inklusif.
Untuk melakukan yang demikian, pertama, Umno harus faham apakah isu yang membelenggu rakyat. Kegusaran tentang hal ekonomi dan identiti harus diakui dan disantuni mengikut kesesuaian situasi dan konteks. Tidak semua orang Melayu kisah tentang identiti mereka, kerana ia subjektif dan ruwet.
Dalam sudut yang berbeza, tidak semua juga orang Melayu kisah tentang ekonomi, kerana ia tidak memberi sense of security yang sepenuhnya kepada mereka.
Maka Umno harus mengimbangi dua spektrum ini dalam setiap naratif pembawakannya. Orang Johor merupakan elektorat yang rasional. Mereka tidak akan menerima retorik bangsa, agama dan budaya semata-mata.
Jika dimomokkan dengan naratif nasib dan hak Melayu yang kian terancam 24 jam maka mereka akan bosan dan tidak lagi berpatisipasi dalam aktivisme politik bawaan Umno Johor.
Kedua, the politics of fear tidak lagi boleh menjadi senjata utama parti ini. Politik Melayu dan Islam adalah politik yang berteraskan etika dan prinsip kebenaran. Lebih-lebih lagi wadah politik Melayu. Maka dengan mengapi-apikan perasaan benci, marah dan meluat Melayu di atas ketidakcekapan dan kelemahan orang lain, tidak akan membawa bangsa ke mana-mana. Ia tidak akan membuat kita lebih kuat dan lebih layak untuk memimpin.
Ketiga, pimpinan tertinggi negeri harus berani menongkah arus untuk mengutarakan idea-idea baharu dan segar untuk diwacanakan. Sekarang, semua sedang sibuk menjayakan naratif “Penyatuan Ummah” antara Umno dan PAS.
Namun saya percaya, tidak semua orang Umno faham apakah tujuan sebenar mobilisasi naratif ini, lebih-lebih lagi ke manakah pengakhirannya?
Secara logik akal, setiap naratif dan pembawakan politik harus mempunyai perkembangan dan kesinambungan. Sesebuah institusi politik tidak boleh menggunakan naratif yang sama jika mereka mahu kekal relevan kepada semua kelompok pengundi, setiap masa.
Oleh yang demikian pimpinan negeri harus sentiasa bersedia untuk mencipta dan menjuarai konsep-konsep baharu untuk ditawarkan kepada rakyat. Konsep yang segar dan mengikut keperluan masa itu.
Keempat, politik naungan yang masih menebal dan mengongkong menyebabkan pimpinan Umno negeri tidak lagi bermaya untuk menjuarai konsep-konsep baharu seperti yang diperkatakan tadi.
Mereka bergantung pada “restu” warlord politik sebelum bertindak dan mengambil keputusan besar dan penting. Mereka juga dilihat seakan terkongkong dan takut untuk melakukan sesuatu yang tidak dilihat melawan kehendak beberapa figura politik yang memayungi mereka.
Figura politik ini adalah golongan bangsawan yang oportunis, secara senyap mahu meletakkan diri di atas tampuk kepimpinan tertinggi parti, bukan dengan merit tetapi wang.
Keempat-empat hal yang diperincikan di atas adalah antara punca yang menghalang Umno Johor daripada melangkah ke hadapan. Umno Johor dan seluruh kepimpinannya harus bermuhasabah diri, terus mengkiritik cara kerja dan pembawakan mereka serta tidak takut untuk mengorak langkahnya yang tersendiri. Meskipun ia melanggar norma kebiasaan struktur feudal Umno Malaysia.
Jika tidak Umno Johor yang mengembalikan kembali parti ini ke landasan yang sepatutnya, siapa lagi?
Kerana ia mempunyai pengalaman sejarah dan sumber untuk melakukannya. Ia mempunyai lapisan pemimpin lampau yang tegas, berpendirian dan bersifat berani mempertahankan kebenaran. Mengapa tidak sekarang? – 4 Mei, 2019.
* Abdullah Ilham adalah pembaca The Malaysian Insight.
Komen