Kerajaan harap dapat semula AS$7 bilion duit 1MDB, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di ibu negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Mei, 2019

PUTRAJAYA berharap akan memperolehi semula dana AS$7 (RM18.9 bilion) yang dilesapkan daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, kerajaan mengetahui wang itu akan dipulangkan tetapi tidak boleh menjangka tempoh masa untuk kesemuanya diterima semula.

“Saya ada mendengar berkenaan isu itu. (Amerika Syarikat) tahu itu duit kita, mereka akan pulangkan, begitu juga dengan Singapura.

“Kita harap dapat semula duit yang hilang kira-kira AS$7 bilion. (Tempoh masanya) itu saya tak tahu,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Dr Mahathir mengulas laporan bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Singapura bersedia memulangkan semula lebih AS$200 juta (RM830 juta) kepada Malaysia.

Laporan Bloomberg menyebut, wang dipercayai hasil penyelewengan dana 1MDB itu akan dipulangkan seawal minggu depan.

Jumlah itu termasuk AS$140 juta daripada jualan pegangan dalam Park Lane Hotel di New York dan AS$60 juta daripada bayaran penyelesaian kes dibuat penerbit filem The Wolf of Wall Street.

Ia susulan permohonan kerajaan Pakatan Harapan agar negara seperti Singapura dan Switzerland membantu mengesan dan merampas dana yang dipercayai diseleweng daripada 1MDB.

Bulan lepas, Putrajaya berjaya menjual kapal persiaran mewah Equanimity milik hartawan yang kini jadi orang buruan Low Taek Jho dengan harga AS$126 juta.

Low dianggap oleh banyak pihak sebagai dalang skandal kleptokrasi terbesar yang pernah disaksikan dunia itu. Beliau berulang kali menafikan tuduhan itu.

Menurut Bloomberg, pihak berkuasa Singapura juga bersedia memulangkan semula dana S$35 juta berkaitan 1MDB yang diserahkan bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng dan keluarganya.

September lalu, Mahkamah Singapura memulangkan S$15.3 juta (RM45.9 juta) yang diseleweng daripada 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) adalah agensi penguatkuasa pertama dunia yang bertindak ke atas kesalahan berkaitan 1MDB.

Badan itu menutup dua bank persendirian pada 2016 dan mendenda lapan bank sebanyak AS$30 juta. – 3 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen