Kuasa besar dunia beri amaran kepada Suu Kyi


BRITAIN mengetuai kuasa dunia semalam untuk memberi amaran kepada Myanmar yang negara itu bakal berdepan tindakan dunia sekiranya Aung San Suu Kyi tidak bertindak menghentikan krisis Rohingya.

Beberapa jam sebelum Suu Kyi dijadualkan memberikan ucapan hari ini, Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson bertindak mengadakan mesyuarat bagi membincangkan krisis itu ketika Perhimpunan Agung PBB sedang berlangsung di New York.

Johnson pada mesyuarat itu yang turut dihadiri Duta AS ke PBB, Nikki Haley dan timbalan menteri luar Myanmar memberi amaran yang keganasan di negeri Rakhine “mencemarkan reputasi negara itu” yang baru sahaja beralih kepada pemerintahan demokratik.

“Kerana itu, Burma tidak perlu terkejut sekiranya ia menjadi tumpuan siasatan antarabangsa dan agenda Majlis Keselamatan,” kata Johnson menggunakan nama lama Myanmar itu.

“Seperti yang banyak kali saya katakan, tiada siapa yang mahu kembali kepada pemerintahan tentera, jadi mustahak Aung San Suu Kyi dan kerajaan awam menghentikan kekejaman ini,” katanya.

Haley menyifatkan mesyuarat itu sebagai “produktif” tetapi memberi amaran tidak banyak yang berubah dalam krisis itu.

“Amerika Syarikat terus mendesak kerajaan Burma untuk menghentikan operasi ketenteraan, memberikan kebenaran bantuan kemanusian, dan memberikan komitmen membantu orang awam pulang ke tempat asal mereka,” katanya.

Negara lain yang turut menghadiri mesyuarat adalah Bangladesh yang menjadi tumpuan pelarian Rohingya, selain Australia, Kanada, Denmark, Indonesia, Sweden dan Turki menurut Britain.

Setiasusaha Agung PBB Antonio Guterres sebelum ini memberitahu BBC yang Suu Kyi mempunyai “peluang terakhir” untuk mengubah hala tuju ucapannya yang dijadualkan disampaikan pada Selasa.

Louis Charbonneau, Pengarah PBB di Human Rights Watch menyifatkan mesyuarat diketuai Britain itu sebagai “langkah pertama, tetapi bukan yang terakhir.”

Pemimpin dunia dijangka menghadiri Perhimpunan Agung PBB minggu ini, dan kerana itu Charbonneau mendesak supaya resolusi Majlis Keselamatan memulakan perbincangan akan sekatan khusus kepada Myanmar termasuklah embargo senjata api kepada negara itu.

Dunia barat dan kumpulan hak asasi yang selama ini memperjuangkan kebebasan Suu Kyi yang ditahan dalam rumah oleh junta tentera selama dua dekad lamanya sehingga dibebaskan pada 2010 kecewa dengan tindakan pemimpin itu.

Kejayaan Suu Kyi dalam pilihan raya dua tahun lepas dianggap kejayaan untuk demokrasi. Tetapi pemimpin itu yang tidak mempunyai hubungan baik dengan tentera Myanmar mengambil tindakan berdiam diri selepas tindakan tentera terhadap etnik Rohingya menyebabkan lebih daripada 410,000 etnik minoriti itu melarikan diri.

PBB mengatakan yang krisis itu yang didakwa saksi melibatkan pembunuhan dan rogol sivil adalah krisis pembersihan etnik. – AFP, 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen