Pulau Pinang mahu Putrajaya beri peruntukan dengan lebih adil


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkaya negeri itu dipinggirkan dalam banyak aspek sejak 11 tahun lalu ketika menjadi negeri di bawah pembangkang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019

KERAJAAN negeri mahu kerajaan persekutuan Pakatan Harapan lebih adil berbanding pendahulunya Barisan Nasional dalam pengagihan dana kepada negeri itu.

Ketua menterinya Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang sudah dipinggirkan dalam banyak aspek sejak 11 tahun lalu ketika menjadi negeri di bawah pembangkang, dengan permohonan dana tidak dihiraukan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini.

Pada 2016, Pulau Pinang berada di antara tiga paling bawah dalam peruntukan yang diterima daripada Putrajaya, menerima hanya RM216 juta atau 3.8% daripada jumlah keseluruhan yang diperuntukkan.

Chow berkata, walaupun kerajaan negeri telah memohon RM12.56 bilion dan RM13.87 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke 10 dan ke 11, jumlah yang diterima “sangat, sangat kecil”, dan disalurkan kepada kementerian tertentu dan bukan secara terus kepada negeri.

Beliau juga berkata Putrajaya perlu kikis persepsi yang Pulau Pinang sebuah negeri yang kaya dan maju, yang tidak memerlukan bantuan persekutuan.

“Kita tidak nafikan Pulau Pinang menerima dana yang sedikit dari Putrajaya sejak 2008, terutamanya peruntukan bagi infrastruktur, kemudahan awam, pelancongan dan lain-lain.

“Kami harap Putrajaya juga boleh semak semula cara dana diagihkan agar Pulau Pinang juga boleh mendapat faedah daripada kemakmuran negara.

“Kini kami di bawah pimpinan yang sama, banyak isu perlu dilihat semula bagi memastikan keadilan dan perkongsian lebih sama rata.

“Namun sebagai sebuah negeri, kami masih terikat dan kami tidak boleh menentang Perlembagaan Persekutuan,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini. – 3 Mei, 2019

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen