Militan Malaysia lawan tentera Myanmar bukan anggota IS, kata polis


Krisis kemanusian terburuk yang sedang berlaku itu sudah memaksa lebih 400,000 orang Rohingya melarikan diri dari Myanmar. – Gambar EPA, 19 September, 2017.

SEKUMPULAN rakyat Malaysia yang berada di Myanmar direkrut oleh kumpulan militan tempatan untuk terlibat menentang tentera negara itu yang mencetuskan serangan balas pihak berkuasa sehingga menyebabkan lebih daripada 400,000 orang Islam Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine, lapor Straits Times.

Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas (E8) Ayob Khan Mydin Pitchay pada Ahad lalu berkata yang Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) menggunakan isu Rohingya sebagai alasan untuk merekrut militan baru di Asia Tenggara seperti dilaporkan Bernama.

Bagaimanapun, Ayob memberitahu the Straits Times yang rakyat Malaysia yang sekarang berada di Myanmar bukan sebahagian daripada IS.

“Mereka bukan IS…kami masih tiada maklumat risikan yang membuktikan IS dan Arsa bergabung tenaga,” katanya merujukan kepada Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (Arsa).

“Tetapi isu Rakhine dieksploitasi IS (untuk merekrut lebih ramai ahli) di Asia Tenggara.”

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata maklumat risikan polis menunjukan lebih ramai rakyat Malaysia sedang bersiap sedia untuk memerangi tentera Myanmar.

“Kami sedang menentukan berapa ramai mereka (di Myanmar) dan berapa ramai lagi merancang meninggalkan Malaysia (untuk pergi ke Myanmar,” kata Fuzi seperti dipetik The Straits Times semalam.

Tidak diketahui sama ada rakyat Malaysia sudah terlibat dalam serangan pemberontak di Myanmar.

Pihak berkuasa memberi amaran yang isu Rakhine adalah isu terbaru yang digunakan IS sebagai seruan “jihad” di Asia Tenggara selepas isu selatan Filipina. – 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen