Sarawak beri peruntukan lebih banyak untuk sekolah berbanding Putrajaya


Desmond Davidson

SARAWAK akan membelanjakan lebih banyak peruntukan kepada sekolah di negeri itu tahun ini berbanding Putrajaya walaupun sektor pendidikan berada di bawah bidang kuasa persekutuan, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Negeri, Annuar Rapaee berkata kerajaan Sarawak memperuntukkan RM120 juta untuk membina semula dan membaik pulih sekolah terbiar, berbanding peruntukan RM100 juta oleh kerajaan persekutuan.

“Itu lebih RM20 juta, dan itu tidak termasuk elektrik sebanyak RM50 juta,” katanya menjawab soalan Adun Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.

Annuar berkata campur tangan Sarawak bertujuan mempercepatkan baik pulih sekolah kerana “pendidikan adalah penting kepada rakyat”.

Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan sedang melaksanakan “kerja besar” untuk memindahkan dan membina semula dua sekolah rendah iaitu SK Ulu Segan di Bintulu dan SK Meludam di Betong, dengan kos RM65 juta.

Di bawah inisiatif transformasi tiga tahun yang bermula tahun lepas, 63 buah sekolah akan dibaiki dengan kos RM20 juta dan 90 lagi sekolah akan menjalani pembaikan menelan kos RM37 juta daripada dana peruntukan pembangunan khas ketua menteri, kata Annuar.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan negeri mengenai isu sekolah usang.” – 3 Mei, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen