Media di era Malaysia Baru


SETIAP tahun pada 3 Mei, kita memperingati Hari Kebebasan Akhbar Dunia.

Berdasarkan janji-janji pemansuhan akta-akta yang selama ini mengekang kebebasan media dan kebebasan bersuara, Malaysia berjaya merekodkan kemajuan dalam laporan tahunan badan pemantau antarabangsa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) - naik 22 tangga bagi menduduki kedudukan 123 antara 180 negara.

Di sebalik itu, sepanjang tahun lepas, pengamal-pengamal media Malaysia berhadapan pelbagai cabaran baru susulan era baru pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Dari segi tekanan ekonomi, ada #kawangeramm yang menjadi mangsa apabila syarikat-syarikat media didanai individu atau parti terkait pemerintahan terdahulu akhirnya gulung tikar ataupun mengecilkan operasi.

Bagi yang kekal bertugas, keghairahan meraikan semangat Malaysia Baru bagaikan tidak bertahan lama apabila ada pihak yang menabur janji namun masih gagal memahami erti sebenar kebebasan media.

Kerajaan boleh berubah namun fungsi serta tugas media sebagai ejen semak dan imbang perlu terus diperkasakan dan dihormati. Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, masih sering berlaku pertikaian antara petugas media dan pihak-pihak yang tidak faham cara kerja media.

Apabila berhadapan kecaman susulan kenyataan-kenyataan yang dianggap melucukan, media dituduh hanya menjaja elemen sensasi, atau lebih buruk, dengan sengaja berniat menjatuhkan individu tertentu.

Adalah amat mengecewakan sekiranya dalam era Malaysia Baru masih terdapat suara-suara yang cuba untuk menghalang tugas media atau mempengaruhi laporan mana-mana agensi media bagi melindungi kepentingan peribadi ataupun individu tertentu.

Pada masa yang sama, Geramm dengan penuh sukacita ingin meraikan semangat solidariti ditunjukkan #kawangeramm bagi menghadapi tekanan-tekanan dalam menjalankan tugas.

Tanpa mengira latar-belakang organisasi media masing-masing, kesedaran bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab yang sama telah mendorong usaha penubuhan Majlis Media Malaysia.

Selaras dengan usaha tersebut, Geramm dengan kerjasama Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), Institute of Journalists (IOJ) Malaysia, Sabah Journalists Association (SJA), Federation of Sarawak Journalists Association (FSJA), Kuching Division Journalists Association (KDJA), dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) telah menyediakan draf kertas-kertas cadangan bagi pembentukan Majlis Media Malaysia beserta lampiran Code of Conduct.

Kertas-kertas cadangan ini dapat diakses di pautan berikut dan Geramm memohon kerjasama semua #kawangeramm bagi berkongi maklum balas melalui laman FB kami ataupun email ke [email protected] sehingga tarikh akhir pada Mei 15, 2019. 

Dokumen akhir akan dikemaskini setelah tarikh tutup dan dihantar kepada pihak berkuasa terbabit untuk tindakan lanjut.

Pada kesempatan ini, Geramm sekali lagi menegaskan penubuhan Majlis Media Malaysia akan menjadi platform terbaik bagi menyelesaikan apa-apa pertikaian antara pihak ketiga dengan mana-mana agensi media.

Secara tidak langsung, pembentukan Majlis Media Malaysia yang mewakili semua pemilik dan pengamal media, serta pihak-pihak berkepentingan, diharap akan membuka ruang ke arah penghasilan lebih banyak laporan-laporan yang berlandaskan prinsip kepentingan awam.

Prinsip ‘self regulation’ berdasarkan kod etika kewartawanan harus menjadi titik tolak permulaan ke arah pembentukan landskap media baru di era Malaysia Baru.

Oleh itu, pertamanya, kami dengan penuh semangat menyeru para wartawan, pekerja media dan seantero warga kewartawanan Malaysia ini agar mendukung etika kewartawanan yang wajib kita dukung seterusnya meletakkan ia ke aras tertinggi bagi menjaga professionalisme dan kredibiliti amanah yang ditanggung kita ini.

Prinsip dan etika kewartawanan haruslah menjadi panduan utama mengatasi pegangan politik bagi memastikan industri ini kekal relevan dalam menjamin maklumat tepat, telus dan baik sampai ke tangan pembaca dan pelanggan.

Kedua, kami dengan penuh rasa rendah diri memohon agar para pembaca, penonton, pendengar, masyarakat sivil dan seluruh rakyat Malaysia agar menyokong usaha memastikan kebebasan media di negara ini dipertahankan dan terus diperjuangkan.

Ketiga, kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa, kami meminta agar pihak media terus dijadikan sebagai bukan sahaja rakan saluran maklumat kepada rakyat, tetapi sebagai medium pengimbang yang berbakti untuk kebaikan negara bagi menegakkan keadilan serta memastikan usaha membersihkan negara menuju kejayaan dan dapat menjadi kebanggaan.

Akhir kata, kami berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini membantu usaha ke arah pembebasan media di negara dan rantau ini.

Salam solidariti. Selamat meraikan hari kebebasan media! – 3 Mei, 2019

 

*Gerakan Media Merdeka, sebuah gabungan wartawan mempertahankan kebebasan media.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen