Lebih 50% nelayan sokong projek tambak laut, kata exco Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Pelan kontroversi Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang mampu meningkatkan ekonomi, kata pelabur zon perindustrian Bayan Lepas, walaupun projek itu dikritik akan memusnahkan alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019.

MAJORITI nelayan yang bakal terjejas oleh Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) menyokong projek itu, kata Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Exco industri pertanian dan berasaskan pertanian berkata lebih 50% daripada mereka menyokong pembangunan penambakan tetapi dengan syarat.

“Kami sudah mengadakan program penglibatan dengan nelayan selama lebih dua tahun. Berdasarkan pengalaman berbincang dengan mereka, hal pampasan menjadi keutamaan.

“Kebimbangan sama ada mereka masih boleh menangkap ikan atau tidaklah begitu menjadi utama. Para nelayan, yang turun ke laut setiap hari, tahu kawasan mana untuk memancing,” katanya ketika sesi menyoal.

Adun Seberang Jaya itu menjawab soalan daripada Goh Choon Aik (Bukit Tambun-PH) mengenai bilangan nelayan menentang projek PSR.

Pembangunan yang dicadangkan melibatkan menambak tiga pulau di selatan Pulau Pinang dan akan menjejaskan 805 nelayan di situ.

Afif juga berkata nelayan juga membangkitkan kebimbangan mengenai perumahan dan pihak berkuasa sedang mencari tapak yang sesuai untuk membangun rumah baru.

Soalan mengenai projek di pulau yang ditambak, Afif berkata 30% daripada perumahan yang akan dibina di pulau buatan manusia akan menjadi perumahan awam.

Keutamaan akan diberikan kepada komuniti nelayan, katanya. – 3 Mei, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen