JUMLAH kematian taufan Irma di Florida, Amerika Syarikat mencecah 50 orang semalam, tetapi pihak berkuasa masih mengumpul maklumat jumlah kematian sebenar disebabkan bencana alam yang melanda kawasan itu minggu lalu.
Bahagian Pengurusan Kecemasan Florida meletakkan jumlah rasmi pada 34 orang tetapi ia tidak memasukkan lapan kematian tidak diketahui punca di Keys dan lapan lagi kes di pusat penjagaan orang tua di Hollywood, utara Miami.
Semua itu berjumlah 50 kematian di seluruh negeri.
Alberto Moscoso, jurucakap pihak berkuasa mengatakan kematian di Keys tidak dimasukkan dalam angka rasmi kerana Monroe County, tempat kematian itu berlaku masih belum memfailkan kiraan rasmi.
Sekurang-kurangnya lebih suku kediaman di Keys musnah menurut Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan (Fema), dan 65% lagi bangunan rosak teruk.
Sejumlah 372,000 orang masih belum mendapat kembali bekalan elektrik di Florida, jumlah itu bagaimanapun turun berbanding 15 juta yang terjejas disebabkan bencana itu sebelum ini.
Irma juga membunuh sekurang-kurangnya 40 orang di Caribbean sebelum melanda Keys pada 10 September lalu. Taufan berkategori empat itu bergerak pada kelajuan 295km per jam.
Kini, Caribbean berdepan pula dengan taufan Maria yang dinaiktaraf kepada taufan kategori empat semalam.
Maria dijangka melanda Puerto Rico esok sebelum bergerak menuju utara. – AFP, 19 September, 2017.
Komen