Projek terowong bawah laut Pulau Pinang tetap diteruskan, kata KM


Looi Sue-Chern

Projek yang masih dalam kajian kebolehlaksanaan itu tiada kaitan dengan pendakwaan seorang individu dituduh menipu pengerusi Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, syarikat bertanggungjawab ke atas projek itu, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019.

TIADA bukti yang Pulau Pinang perlu menghentikan projek terowong bawah laut yang dicadangkan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau menegaskan projek yang masih dalam kajian kebolehlaksanaan itu tiada kaitan dengan pendakwaan seorang individu dituduh menipu pengerusi Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, syarikat bertanggungjawab ke atas projek itu.

Chow berkata projek tersebut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana proses tendernya pada 2013, dan individu terbabit menipu pengerusi Zenith dengan berjanji untuk menghentikan siasatan itu.

Berita penipuan melibatkan RM19 juta terdedah awal tahun lepas menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Pulau Pinang ketika itu masih negeri ditadbir pembangkang Pakatan Harapan diterajui DAP.

“Apa yang berlaku tahun lepas mungkin kerana musim pilihan raya. SPRM menyiasat dan kita beri kerjasama penuh.

“Setakat ini, tiada pihak (terlibat dalam projek itu) didakwa. Kes itu tiada kaitan dengan proses tender terowong,” katanya, menambah yang perbincangan tentang perkara itu perlu dihentikan kerana kes sedang dibicarakan.

Ahli perniagaan G Gnanaraja didakwa menipu Pengerusi Zenith Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bulan lepas. Beliau berdepan 68 pertuduhan pengubahan wang haram yang tidak berkaitan dengan projek terowong itu.

Chow berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan tentang projek terowong sepanjang 7.2km menghubungkan Butterworth dan Persiaran Gurney itu.

“Setakat ini, tiada apa-apa menunjukkan projek itu tidak boleh diteruskan,” kata Chow kepada DUN.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yusni Mat Piah (Penang-PAS) ketika sesi soalan lisan DUN.

Jelasnya lagi, kajian kebolehlaksanaan terowong dilakukan Zenith sudah dihantar kepada syarikat kejuruteraan bebas, HSSI Sdn Bhd untuk pemeriksaan dan pengesahan.

“Komen sudah dihantar kepada Zenith untuk pindaan sebelum kerajaan negeri meluluskan projek itu.”

Chow menambah yang Zenith masih belum menerima sebarang bayaran untuk kajian itul. Bayaran hanya akan dibuat selepas laporan disahkan jurutera bertauliah dan dihantar kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

Daripada tiga projek jalan raya utama dilaksanakan Zenith, projek pertama dijangka bermula September tahun ini, katanya.

Ketiga-tiga jalan raya itu- Jalan Berkembar Pesisir Utara dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (Pakej 1), Lintasan Air Itam- Tun Dr Lim Chong Eu (Pakej 2) dan Lintasan Persiaran Gurney-Tun Dr Lim Chong Eu (Pakej 3)- mendapat kelulusan bersyarat laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Projek jalan raya dan terowong itu adalah sebahagian daripada projek mega, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion. – 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen