Adun DAP persoal peruntukan besar Sarawak pada perunding


Desmond Davidson

Adun Pending Violet Yong mempersoalkan keputusan kerajaan negeri memberi pakej pertama projek bernilai RM50 juta kepada Opus Consultants (M) Sdn Bhd, unit UEM Edgenta Bhd. –Gambar The Malaysian Insight, 2 Mei, 2019.

ADUN Pakatan Harapan (PH) hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan negeri membelanjakan sejumlah wang yang “keterlaluan” pada syarikat bukan berpangkalan di Sarawak sebagai konsultan pengurusan untuk projek rangkaian jalan raya pantai negeri dan jalan raya kedua bernilai RM11 bilion.

Adun Pending Violet Yong mempersoalkan keputusan kerajaan negeri memberi pakej pertama projek bernilai RM50 juta kepada Opus Consultants (M) Sdn Bhd, unit UEM Edgenta Bhd.

Beliau bertanya apa yang Opus boleh tawarkan sehingga “keseluruhan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, Jabatan Kerja Raya Sarawak dan pasukan perunding tempatan kita tidak dapat capai”.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Opus menyatakan ia akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak untuk menyediakan keseluruhan pengurusan projek dan kepakaran teknikal.

Adun DAP memberitahu Dewan Perundangan Negeri petang ini yang Sarawak mungkin membayar Opus RM165 hingga RM198 juta bagi menyiapkan kedua-dua projek itu dalam beberapa fasa dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.

“Kita semua tahu JKR (Jabatan Kerja Raya) Sarawak mempunyai cawangan di seluruh negeri dari Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan sebagainya.

“Sekiranya PMC (perunding pengurusan projek) seperti Opus mengendalikan semua kerja pemantauan bagi pihak JKR, adakah JKR tidak mempunyai kakitangan berkelayakan untuk mengendalikan tugas sekarang atau JKR tidak cekap untuk mengendalikan tugas itu?
 
Yong berkata jika Opus melakukan kerja JKR, mengapa JKR menerima perbelanjaan perjalanan sebanyak RM10 juta bagi kakitangannya dalam projek itu.

Beliau juga meminta kerajaan negeri menerangkan skop sebenar Opus, bagaimana lantikkannya dapat membantu menjimatkan kos, dan sama ada Opus diberikan kontrak konsultasi berdasarkan merit.

“Untuk membuktikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan Sarawak GPS (Gabungan Parti Sarawak), jawapan perlu diberikan semua kepada soalan ini.”

Yong juga mempersoalkan pengambilalihan kerajaan terhadap stesen lembu seluas 41,500 hektar di Darwin, Australia, yang dikatakannya dibuat secara rahsia.

Beliau mahu penjelasan mengenai pelaburan syarikat berkaitan kerajaan negeri Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam stesen Carmor Plains.

Yong berkata rakyat Sarawak tidak akan tahu satu lagi urus niaga berlaku di Darwin menggunakan wang pembayar cukai jika ia tidak dilaporkan oleh akhbar Australia.

“Semua ini melibatkan wang pembayar cukai dan kami tidak akan membenarkan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menggunakannya sebagai peluang untuk mengumpulkan kekayaan.” – 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen