PBB terlalu ‘birokrasi’, kata Trump


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berucap kali pertama di ibu pejabat PBB di New York hari ini. – Gambar AFP, 18 September, 2017.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata “birokrasi” menghalang keberkesanan peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mesej tegas dalam penampilan pertamanya di institusi itu.

Memulakan minggu ini dengan panel membincangkan mengenai perubahan PBB, Trump bercakap mengenai sejarah peribadinya dengan institusi berpangkalan di New York itu.

Katanya, beliau melihat “potensi besar di seberang jalan” dari ibu pejabat PBB, merujuk kepada bangunan miliknya, Trump World Tower setinggi 72 tingkat yang terletak berhampiran di situ.

Trump berkata AS – ahli pengasas PBB dan penyumbang kewangan terbesar institusi itu – mahukan pulangan yang lebih baik daripada pelaburannya.

“PBB diasaskan dengan matlamat yang mulia,” katanya, menambah perkembangan institusi itu sejak akhir-akhir ini tidak mencapai potensi sebenarnya, kerana birokrasi dan salah urus pentadbiran.

“Walaupun bajet biasa PBB meningkat 140%, dan kakitangannya kini lebih daripada dua kali ganda sejak 2000, kita tidak melihat keputusannya seiring dengan pelaburan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak institusi itu memberi fokus kepada hasil keputusan, satu desakan yang senada dibuat oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang berkata perubahan PBB perlu kepada fokus terhadap lebih ramai orang dan kurangkan proses. – AFP, 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen