Teknologi digital bantu kerajaan bina 1 juta rumah mampu milik, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melambai kepada orang ramai ketika merasmikan pembukaan kilang Gamuda IBS di Banting, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Mei, 2019.

TEKNOLOGI digital akan membantu usaha kerajaan mencapai sasaran membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata teknologi Sistem Binaan Berindustri Digital (IBS) itu juga membolehkan rumah dibina lebih cepat dengan harga yang lebih rendah.

Beliau berkata teknologi tersebut antara lain membolehkan lakaran serta maklumat model bangunan untuk projek perumahan awam dapat dicapai atas talian.

“Teknologi ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Dr Mahathir berkata teknologi berkenaan juga mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap penggunaan tenaga kerja asing.

Bagi tahun ini kerajaan menyasarkan untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik berharga sekitar RM300,000.

“Ini selari dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membina sejuta unit rumah mampu milik.

“Kumpulan berpendapatan rendah B40 dan berpendapatan sederhana M40 adalah fokus utama dasar berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berucap merasmikan pembukaan kilang Gamuda IBS di Banting, hari ini. – 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen