TERENGGANU masih mampu melaksana janji dalam manifesto walau bayaran royalti petroleum dipotong 25% untuk melunaskan hutang, kata seorang exconya Mohd Nor Hamzah.
Exco hal ehwal penerangan itu berkata potongan tersebut tidak memberi kesukaran kepada kerajaan negeri itu yang memperuntukkan belanjawan lebih RM2 bilion untuk tahun ini.
“Kami tak anggap (potongan royalti) itu sukar, kami hanya perlu kurangkan sikit perbelanjaan dan Bajet 2019 sebanyak 25%,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui.
Terengganu sudahpun menerima bayaran royalti pertama untuk tahun 2018 dan 2019 berjumlah RM450 juta.
Bayaran selebihnya akan dibayar dua kali untuk menggenapkan bayaran berjumlah antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion.
Dengan itu, Terengganu berjaya menunaikan 12 daripada 20 janji dalam manifesto tersebut setakat ini, kata Adun Bukit Payung itu lagi.
Antara janji yang sudah dilaksanakan adalah bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan B40, pembukaan nurseri di setiap jabatan kerajaan serta lesen motosikal percuma, katanya.
Tambahnya, Terengganu juga berjaya melaksana bayaran pencen rakyat RM50 sebulan untuk warga emas, kad kesihatan bernilai RM500 setahun untuk golongan B40 dan tabung biasiswa cemerlang.
“Kelebihan kita adalah kita tidak letakkan tempoh 100 hari untuk laksanakan janji manifesto seperti kerajaan persekutuan.
“Kita beri tawaran realistik dan kita tak letakkan tempoh masa, kita letakkan satu penggal selama lima tahun, kita tak hadkan 100 hari,” kata Mohd Nor.
Kebanyakan rakyat Terengganu yang ditemui pula berkata, mereka dapat merasai janji dalam manifesto tersebut dilaksanan.
Wan Jusoh Wan Ali, 60, seorang pesara kerajaan dari Dungun berkata beliau gembira kerana bukan sahaja tidak perlu membayar cukai pintu tetapi turut dikecualikan dari membayar tunggakan.
Perkara itu merupakan antara janjia yang ditawarkan PAS dalam kempen pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.
Kerajaan Terengganu menjangkakan akan menaggung kerugian RM9.7 juta daripada pelaksanaan pengecualian cukai pintu dan bayaran tunggakan tersebut.

Untuk menampung kerugian itu, Terengganu mengumumkan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menambah pendapatan tanpa perlu mengorbankan janji tersebut.
Aidil Zaidi, 27, juruteknik dari Kuala Terengganu pula berkata beliau melihat PAS berjaya menunaikan janji apabila golongan muda berjaya mendapat lesen motosikal dan kahwin dengan percuma.
Aidil berpendapat, kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir juga dilihat lebih lunak kepada Terengganu, walaupun mereka merupakan negeri pembangkang, berbanding kerajaan Kelantan.
Beliau melihat demikian kerana negeri Terengganu menerima bayaran royalti minyak, tidak seperti semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Malah hubungan negeri Terengganu itu juga dilihatnya lebih baik berbanding hubungan kerajaan persekutuan dengan Kelantan, yang juga dipimpin PAS.
“Kerajaan negeri dilihat tiada masalah dengan (persekutuan), walaupun berlainan parti tapi bersikap terbuka antara satu sama lain. Menteri besar kita pun bersikap terbuka, menerima pendapat rakyat di peringkat bawahan,”
“Kalau dulu dengan kerajaan Pusat (semasa BN) kita nampak macam seteru, sekarang (hubungan) kerajaan Kelantan pun tidak sama seperti hubungan antara Terengganu dengan kerajaan Pusat,” katanya.
Seorang lagi rakyat tempatan, Mohd Shahrul Idris, 43, melihat pentadbiran PAS turut mengawal aktiviti hiburan dengan lebih baik selepas mengambil alih kerajaan negeri.
“Dulu zaman BN karaoke tutup pukul 2 pagi, tapi sekarang pukul 12 dah tutup dah, tidak mengapalah, mereka kan kuat agama,” katanya.
Namun pentadbiran Terengganu juga tidak membatalkan mana-mana program pentadbiran BN terdahulu sewenang-wenangnya, kata anggota exco, Mohd Nor Hamzah.
“Prinsip kita, yang baik dilaksanakan kerajaan lalu kita teruskan, tetapi kita buat penambahbaikan, pertama selesaikan masalah, kedua kita kaji semula dari segi kebaikan rakyat dalam satu projek mengikut kesesuaian dan realiti semasa.
Beliau berkata, pentadbiran PAS membuat kajian mendalam dan mengumpul maklumat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita dapat kerjasama daripada kakitangan kerajaan yang beri pandangan. Kita buat manifesto realistik. Kita janji memang nak buat sungguh. Kita janji sungguh nak selesaikan masalah rakyat,” katanya. – 1 Mei, 2019.
Komen