NGO mahu sambut ulang tahun pentadbiran PH dengan demo


Mohd Farhan Darwis

Nazrin Norani dalam satu sidang media hari ini berkata, perhimpunan itu akan membawa 10 tuntutan pada tarikh ulang tahun setahun 100 hari selepas PH membentuk kerajaan. – Gamabar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Mei, 2019.

SEBUAH NGO mengancam untuk menganjurkan perhimpunan besar untuk menyambut ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 17 Ogos.

NGO Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (Sedar Malaysia) mengumumkan, perhimpunan itu perlu dibuat kerana rakyat didakwa tidak lagi yakin dengan pentadbiran PH

Jurucakapnya, Nazrin Norani dalam satu sidang media hari ini berkata, perhimpunan itu akan membawa 10 tuntutan pada tarikh ulang tahun setahun 100 hari selepas PH membentuk kerajaan.

“Oleh kerana rakyat tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan PH, Sedar Malaysia akan menganjurkan perhimpunan ‘Apa Sudah Jadi’,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA hari ini.

Sedar Malaysia ditubuhkan akhir bulan lalu dan antara lain bekerjasama dengan NGO Melayu yang dikaitkan dengan Umno, Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Nazrin bagaimanapun berkata, lokasi dan jumlah penyertaan himpunan serta tuntutan yang akan dibuat Sedar Malaysia itu akan dimaklumkan kemudian.

“Kami sudah tanya kepada orang ramai dan kebanyakan mereka bersetuju, jadi kami akan anjurkan himpunan.

“Dalam masa bermula hari ini sehingga 17 Ogos, jika rakyat masih merana, kerajaan masih berpolitik, kami akan bawa ke jalanan. 

“Kalau kami pun boleh kumpul orang, kami akan bawa lebih ramai orang ke jalanan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas satu forum awam untuk mendengar keluhan berkaitan soal ekonomi dan pentadbiran PH.

Antara isu yang dibangkittkan adalah peluang kerja bagi individu yang kehilangan pekerjaan selepas PH mengambil alih kerajaan.

“Masalah ini sangat tenat kepada mereka yang telah berkhidmat kepada agensi-agensi yang dibubarkan tanpa fikir implikasi negatif oleh kerajaan PH,” katanya lagi.

Antara jawatan tersebut adalah seramai kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, yang diberhentikan selepas agensi itu dibubarkan.

Lebih 600 orang daripada sejumlah 961 orang itu sudahpun diserap ke bahagian penguatkuasaan dalam agensi lain dan kerajaan turut menyalur pampasan pemberhentian kerja berjumlah RM23 juta. 

Selain itu, kerajaan Putrajaya juga menutup unit propaganda yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyerang pembangkang sebelum ini.

Seramai 800 pekerja kontrak diberhentikan makanakala 300 penjawat awam dipindahkan ke jabatan lain dalam tindakan itu. – 1 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen