Saya akan didakwa hari Jumaat, kata Bung Mokhtar


Jason Santos

AHLI Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin hari ini mengesahkan bahawa beliau dan isterinya telah disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.

Bung Moktar memberitahu The Malaysian Insight, beliau dipanggil pegawai SPRM di Kota Kinabalu sementara isterinya pelakon drama terkenal, Zizie Ezzete, dipanggil bagi memberi keterangan di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen yang terkenal dengan kelantangannya di Dewan Rakyat serta isterinya itu disiasat selama beberapa jam oleh pegawai SPRM. Mereka berdua kemudian dibebaskan.

“Saya dipanggil ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu dan isteri saya di Kuala Lumpur.

“Saya dibebaskan selepas disoal siasat dan mereka akan meneruskan pertuduhan ke atas saya di mahkamah Kuala Lumpur Jumaat ini,” katanya.

Sattu kenyataan SPRM juga mengesahkan agensi itu mendapat izin untuk mendakwa Bung Moktar dan Zizie pada hari tersebut.

Kedua-duanya akan didakwan mengiktu Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009

Difahamkan kes tersebut berkaitan dengan peranan Bung Mokhtar ketika menjadi pengerusi Felcra.

Sumber SPRM memberitahu The Malaysian Insight, siasatan melibatkan dakwaan rasuah berjumlah jutaan ringgit.

“Ya, ahli Parlimen itu adalah pengerusi sebuah agensi kerajaan ketika BN adalah kerajaan persekutuan,” kata sumber tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki juga mengesahkan kedua-duanya ditahan hari ini. – 1 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen