KIRA-KIRA 70% penduduk Vietnam dijangkiti sejenis bakteria dikenali “Helicobacter Pylori (HP)” yang boleh menyebabkan penyakit ulser duodenal dan kanser perut, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut Hospital Bach Mai, selain peningkatan kadar bakteria HP, Vietnam juga berdepan masalah lain iaitu penyalahgunaan antibiotik yang menyebabkan bakteria dalam tubuh manusia menjadi kebal.
Di kebanyakan negara, banyak jenis ubat berkesan merawat penyakit dalam perut yang disebabkan bakteria HP pada kadar 80 hingga 90% tetapi di Vietnam kadar keberkesanan hanya 50 hingga 70%.
Rintangan antibiotik kini menjadi masalah yang sukar diatasi di Vietnam kerana ramai pesakit menggunakan antibiotik dengan sewenang-wenangnya tanpa preskripsi.
Keadaan itu menyebabkan pesakit terpaksa ditahan di hospital lebih lama, peningkatan kos perubatan dan kadar kematian lebih tinggi.
Lebih separuh daripada penduduk dunia di negara membangun lebih mudah dijangkiti HP berbanding negara Barat, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat. – Bernama, 18 September, 2017.
Komen