KERJASAMA dengan Umno menguntungkan PAS dan memudahkan parti itu mengambil alih pentadbiran Terengganu, kata seorang anggota exco Mohd Nor Hamzah.
Exco pembangunan modal insan, dakwah dan penerangan itu berkata, ia mengelakkan Umno menimbulkan kekacauan seperti yang berlaku ketika PAS mengambil alih Terengganu pada 1999.
Jelasnya, kerjasama ini diterima ahli kedua-dua parti di peringkat akar umbi yang membolehkan peralihan kuasa di peringkat bawahan berjalan lancar dan aman.
“Strategi kerjasama antara PAS dan Umno yang menjadikan kerajaan negeri stabil, termasuk juga asas pentadbiran kita untuk mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight itu, Mohd Nor berkata kerjasama akar umbi juga membolehkan urusan pentadbiran di peringkat kampung berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
“Semua pihak boleh bekerjasama, contohnya, pertukaran ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ahli jawatankuasa masjid, semuanya melalui proses perbincangan dan diselaraskan.
“Malah, ahli-ahli terdahulu dengan sendirinya menyerahkan mandat lalu menjadikan proses peralihan berjalan dalam suasana stabil,” kata Adun Bukit Payung itu.
Jelasnya, keadaan ini berbeza dengan suasana sewaktu PAS menang PRU kesepuluh, yang menyaksikan beberapa peristiwa hitam berlaku, ketika parti tersebut berseteru dengan Umno.
Antara kejadian itu adalah kes kanak-kanak yang belajar di Tabika di balai raya dihalau anggota PAS dalam Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) selepas parti itu mengambil alih pentadbiran.
Dalam perkembangan kes penuh emosi itu, pelajar itu terpaksa mengusung meja dan kerusi dan meneruskan pembelajaran di wakaf atau menumpang di ruang tamu rumah penduduk.
Turut menjadi kontroversi adalah kes ahli dan pemimpin PAS yang mengunci pagar pusat pentadbiran negeri di Wisma Darul Iman beberapa jam sebelum keputusan PRU kesepuluh diumumkan.
Jelas Mohd Nor, situasi itu tidak lagi berulang kerana PAS dan Umno kini bekerjasama menghalakan sasaran serangan ke atas pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua penerangan PAS Terengganu itu menjelaskan, hasil kerjasama dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) juga mendidik ahli supaya menerima strategi berkenaan dan mengelakkan sejarah hitam kembali berulang.
“Strategi ini formula untuk fahamkan orang bawah, jadi pengikut sedar pemimpin ajak kita bersatu, praktikalnya pimpinan turun kempen menangkan calon BN dan Umno dalam PRK sebelum ini,” kata Mohd Nor.
PAS berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu selepas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya menang 10 kerusi.

Kini, kedua-dua parti bekerjasama di sebalik latar usaha pengukuhan kuasa golongan Melayu, kata Mohd Nor yang melihat perkara itu semakin diterima oleh akar umbi.
“Budaya politik matang boleh diterima pimpinan dan orang BN, lagipun yang kuat sokongan di Pantai Timur ini hanya PAS dan BN sahaja, PH tidak ada sokongan akar umbi yang kuat,” katanya.
Sementara itu, warga Terengganu yang ditemui berkata parti Islam itu kini lebih matang dalam pentadbiran mereka berbanding ketika merampas negeri itu 20 tahun lalu.
Alias Othman, 60, berkata kerajaan PAS tidak lagi mengambil alih pusat pendidikan kanak-kanak dan tidak menukar imam dan bilal di masjid tertentu.
“Kerajaan hari ini tidak seperti ketika PAS dulu, mereka tidak lagi tukar imam dan bilal, pusat pendidikan kanak-kanak tidak lagi diusik, dikekalkan seperti biasa.
“Dulu, masjid diambil alih semua, tapi kali ini kekal macam biasa, tidak ada masalah.
“Masa PAS perintah yang pertama dulu semua kacau, balai raya semua dia kacau. Sekarang tidak, jadi tidak timbul masalah sekarang,” katanya yang kini bekerja sebagai nelayan di Seberang Takir.
Aidil Zaidi, 27, seorang juruteknik dari Kuala Terengganu pula melihat kerjasama antara PAS dan Umno itu adalah perkembangan positif buat rakyat Terengganu.
“Kerjasama Umno dan PAS secara tak terlalu rasmi, tapi bleh nampak, baguslah macam itu. Kita juga boleh lihat bekas bekas menteri besar masih membantu, kerajaan maknanya saling membantu jadi tidak ada isu berbangit atau isu yang timbul,” katanya.
Aidil bagaimanapun memberi ingatan agar rakyat tidak terlalu selesa dengan situasi semasa kerana dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Cuma rakyat juga jangan cepat sangat berpuas hati, kita kena terus menilai kerajaan,” katanya lagi.
Mohd Zainal Abidin Alias, 34, pula berkata, generasi lama masih khuatir tetapi golongan muda sepertinya sudah dapat menerima kerjasama PAS dan Umno.
“Di kampung saya tidak berlaku pemisahan antara PAS dan Umno, sekarang rakyat kita bekerjsama dan jadi kuat.
“Hanya kita takut pegangan orang lama. Budak-budak muda ini tidak ada masalah, kami sentiasa terbuka dengan kerjasama ini,” katanya yang ditemui di Kuala Nerus. – 1 Mei, 2019
Komen