KONDOMINIUM Highland Towers di Ampang akhirnya akan dirobohkan pada Jun, dan ia akan digantikan dengan taman peringatan bagi mangsa tragedi yang mengrbankan 48 nyawa lebih 25 tahun lalu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Zuraida berkata kelulusan untuk merobohkan dua blok kondominium terbabit sudah diberikan, selepas ia ditangguhkan pada Oktober tahun lalu.
“Kerajaan cuba menyelesaikan satu lagi isu yang timbul bagi kerja perobohan yang dijadualkan, iaitu tuntutan pampasan oleh 15 bekas penghuninya,” kata Zuraida.
“Terdapat 15 pemiliknya yang datang bertemu kami untuk menyemak sekiranya mereka boleh buat tuntutan.
“Mereka tidak layak untuk sebarang tuntutan kerana undang-undang had enam tahun. Namun kami akan terus berhubung dengan mereka.”
Zuraida berkata kerja perobohan, pembersihan dan pembinaan tugu peringatan akan dibiaya Majlis Perbandaran Ampang Jaya, dan menambah pemaju Highland Towers juga akan menyumbangkan RM2 juta bagi kerja-kerja tersebut.
“Sebaik sahaja ia selesai, kita akan bersihkan kawasan itu dan jalankan kerja landskap,” katanya.

Ditanya sama ada kawasan berkenaan sesuai untuk pembangunan kawasan perumahan baharu, Zuraida berkata, keadaan geo-fizikalnya tidak sesuai.
“Sebelum ini kita bercadang untuk membina rumah mampu milik kerana kawasannya cukup luas.
“Namun faktor geo-fizikal kawasan itu tidak mampu bertahan dengan bangunan tinggi. Jadi kita akan minta MPAJ untuk ambil laih dan menguruskan tanah berkenaan.”
Pada Ogos tahun lalu, Zuraida mencadangkan kawasan Highland Towers dibangunkan semula sebagai taman rekreasi kerana tanah di kawasan itu tidak sesuai untuk perumahan.
Pada 11 Disember, 1993, salah satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut 48 nyawa dan menyebabkan ratusan lagi cedera.
Menurut laporan, hujan berterusan selama 10 hari menyebabkan berlaku tanah runtuh yang menumbangkan bangunan berkenaan.
Penduduk di dua blok lain dipindahkan serta merta selepas runtuhan itu.
Keseluruhan kawasan berkenaan terus ditinggalkan sejak tragedi itu. – 1 Mei, 2019
Komen