Adun PKR minta Pulau Pinang tangguh projek tambak laut dan terowong


Looi Sue-Chern

Projek terowong bawah laut adalah sebahagian daripada RM46 bilion Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) manakala PSR adalah model pembiayaan untuk pelan berkenaan yang bertujuan menyelesaikan masalah trafik di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2019.

SEORANG Adun mahu kerajaan Pulau Pinang dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow menangguhkan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dan projek terowong bawah laut.

Projek terowong itu adalah sebahagian daripada RM46 bilion Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) manakala PSR adalah model pembiayaan untuk pelan berkenaan yang bertujuan menyelesaikan masalah trafik di Pulau Pinang.

Jason Ong Khan Lee (Kebun Bunga-PH) berkata, kerajaan harus menimbangkan projek berkenaan kerana penduduk, pembangunan dan pertumbuhan negara tidak mencapai tahap seperti di Singapura dan Hong Kong.

Beliau berkata, kedua-dua pulau itu sudah lama menjadi bandar raya antarabangsa dan hab perniagaan, kewangan serta dagangan.

Jason memberitahu bahawa dia tidak membantah PTMP tetapi sebagai wakil rakyat dia perlu mengemukakan soalan kepada kerajaan mengenai isu yang dikenali sebagai projek mega.

“Secara peribadi saya menyokong PTMP tetapi saya percaya kerajaan faham bahawa projek itu membelanjakan kos sebanyak RM46 bilion.

“Oleh itu rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sumber pendanaan projek itu sama ada ia akan mampan dalam jangka panjang. Pastinya ia juga akan melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Pelaksanaan PTMP akan tepat pada masanya sekiranya kedudukan ekonomi dan kewangan kita kukuh. Setakat yang saya ketahui, PTMP tidak akan dibiayai oleh kerajaan persekutuan, jadi kita mesti berhati-hati dalam melaksanakannya,” katanya ketika sesi perbahasan petang ini.

Pemimpin pembangkang Muhamad Yusoff Moh Noor (Suar Dua-BN) menyuarakan persetujuannya dengan Jason manakala Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus-PH) tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa projek itu tidak sepatutnya ditangguhkan. – 30 April, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen