Kenapa kafirkan orang yang tidak sokong PAS, tanya Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PAS tidak wajar mengkafirkan dirinya dan orang Islam lain hanya kerana tidak menyokong parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September, 2017.

PANGGILAH saya apa saja walaupun penyangak, penyamun, diktator tetapi wajarkah PAS mengkafirkan saya dan semua orang Islam lain hanya kerana tidak menyokong parti itu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata tindakan PAS mengkafirkan orang Islam hanya kerana politik telah memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.

“Saya tidak harap musuh politik saya memanggil saya dengan nama baik. Jika mereka membuat demikian tentulah sukar bagi mereka menentang saya.

“Tetapi yang saya sedih dan marah ialah apabila PAS mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak sokong PAS. Perbuatan ini dilarang oleh agama Islam.

“Dan mereka yang dikafirkan marah dan kecewa didakwa mereka tidak Islam,” kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya, chedet.cc.

Pengerusi Pakatan Harapan itu menjawab kritikan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyelar beliau minggu lalu kerana menganggap parti Islam itu sebagai “pengacau” dalam pilihan raya umum akan datang.

Tuan Ibrahim berkata Dr Mahathir punca kenapa Barisan Nasional masih berkuasa dan masalah Umno hari ini adalah kesan daripada kepimpinan bekas presiden Umno itu.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri dan presiden Umno selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003.

Dr Mahathir berkata beliau hormat pada Tuan Ibrahim sebagai “satu-satunya pemimpin PAS yang rasional” tetapi timbalan presiden itu tidak menyentuh perkara yang dibangkitkan iaitu mengundi PAS pada PRU14 nanti samalah seperti mengundi BN untuk terus berkuasa.

“Sebaliknya Tuan Ibrahim hanya melempar pelbagai kata kesat kepada saya. Ini bermakna Tuan Ibrahim bersetuju dengan dakwaan PAS bahawa saya dan lain-lain orang Melayu yang tidak menyertai PAS adalah kafir.

“Yang tidak menyertai PAS ini ramai,” kata Dr Mahathir dan menyebut Raja-Raja Melayu pun tidak menyertai PAS, begitu juga 1.7 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata sebelum adanya PAS tidak ada perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana perbezaan fahaman tentang agama Islam.

Sebaliknya, hanya setelah PAS ditubuhkan dan parti itu mengkafirkan orang yang tidak menyertainya,, barulah orang Melayu Islam berpecah “sehingga tidak terima nikah ibu bapa, bersembahyang dua imam, kubur berasingan dan bermusuh ketat” antara orang PAS dan bukan PAS.

“Kenyataan saya ini tidak boleh dipertikai oleh sesiapa. Bolehkah Tuan Ibrahim nafi perpecahan ini berlaku,” kata Dr Mahathir.

Katanya, keadaan ini berlaku kerana PAS menidakkan Islamnya orang Umno dan juga orang lain yang tidak menyertai PAS.

Dr Mahathir berkata isu kafir mengkafir ini timbul apabila PAS mengkritik Umno yang bekerjasama politik dengan orang bukan Islam.

Tetapi, katanya PAS kemudian bekerjasama dengan DAP tetapi parti Islam itu mendakwa itu tidak pula menjadikan PAS kafir.

“Kerjasama PAS diberi nama ‘tahaluf siyasi’ perkataan Arab yang bermakna ‘kerjasama politik’. Hanya dengan mengguna bahasa Arab tidak menjadikan perbuatan PAS itu Islam,” katanya.

Dr Mahathir kemudian meminta Tuan Ibrahim menjawab persoalan yang beliau bangkitkan:

  • Apakah Tuan Ibrahim percaya sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam.
  • Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS.
  • Apakah ibu bapa orang PAS kafir kerana dilahirkan sebelum adanya PAS.
  • Apakah PAS tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP.
  • Mengikut PAS, Umno kafir. Jika PAS bekerjasama dengan Umno apakah PAS menjadi kafir.
  • Amanat Hadi dakwa pemerintahan Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?
  • Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dulu kafir, apakah pegawainya, termasuk mufti dan orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir.
  • Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dah empat polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir?

Dr Mahathir berkata tidak perlu hendak memperlekehkannya kerana tidak tahu berbahasa Arab dan tidak berijazah dalam agama Islam, tetapi jawab benar atau tidak orang yang tidak menyertai PAS kafir. – 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen