Kerabat diraja juga perlu hormati mandat rakyat, kata Anwar 


Looi Sue-Chern

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis minum petang bersama ahli PKR di Permatang Pauh hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 29 April, 2019

KERABAT diraja di negara ini juga perlu menghormati mandat rakyat kepada kerajaan dan perdana menteri, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata, adalah “tidak wajar” apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri berbalas kenyataan dengan segelintir kerabat diraja.

Anwar berkata, kedudukan perdana menteri adalah jelas, dan beliau tertakluk kepada perlembagaan.

“Berhubung kedudukan PM, beliau mempunyai mandat untuk mentadbir.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi nasihat kepada semua, termasuk kerabat diraja, untuk menghormati mandat rakyat dan hakikat bahawa PM dan kerajaan mempunyai mandat untuk mentadbir.

“Terdapat pandangan dan kritikan tetapi jika kamu melakukannya, akan ada tindak balas. Kamu mengundang kritikan lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis hi-tea bersama anggota PKR, aktivis dan orang awam di Permatang Pauh petang tadi.

Hubungan Dr Mahathir dengan keluarga diraja Johor agak keruh.

Terbaharu mengenai pelantikan menteri besar Johor dan exco negeri, yang membawa kepada Dr Mahathir dan Tunku Ismail merujuk artikel di bawah Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa negeri dan Majlis Raja-Raja.

Tunku Ismail mengatakan perdana menteri perlu ditukar.

Anwar hari ini berkata, berbalas kenyataan sedemikian tidak wajar, sebaliknya adalah lebih baik untuk tumpukan kepada ekonomi.

Beliau sedia maklum dengan isu pendapatan yang menjadi kebimbangan rakyat, dan kos sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barangan yang menjadikan rakyat tidak gembira dengan kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya turun padang dan rakyat menyatakan kebimbangan mereka. Isu ini tidak boleh diselesaikan dalam beberapa bulan.

“Ia mengenai pertumbuhan ekonomi dan kapasiti kita sebagai pengeluar untuk tingkatkan lebih banyak pengeluaran, tingkatkan kecekapan dan membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Saya bersetuju yang rakyat beri harapan tinggi kerana banyak yang kita janjikan. Kita tidak boleh komplen. Kami berikan janji, dan ya, kami akan tunaikan tetapi sudah tentu, saya tidak rasa boleh melakukannya dalam temph yang singkat,” katanya.

Anwar, yang juga bekas menteri kewangan ketika beliau dalam Barisan Nasional sejak 20 tahun lalu, berkata kerajaan memerlukan “satu atau dua tahun” lagi untuk tunaikan janji. 

“Saya optimis. Sebaik sahaja ekonomi lebih baik dengan kadar pendaoatan lebih tinggi keadaan akan bertambah baik.

“Apabila pendapatan tidak meningkat dengan ketara, setiap peningkatan dalam sen akan menjadi beban,” katanya.

Minggu lalu, kajian Merdeka Centre mendapati hanya 39% rakyat Malaysia memberi rating positif terhadap PH, hanya beberapa minggu menjelang sambutan ulang tahun pertama gabungan itu berkuasa.

Kajian itu juga menunjukkan populariti Dr Mahathir menurun kepada 46% daripada 71% Ogos lalu. – 29 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen