Bekas pegawai menteri BN ditahan SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Beliau yang juga bekas ahli parlimen sebelum itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2019.

SEORANG bekas pegawai khas kepada bekas menteri pertahanan ditahan agensi anti rasuah hari ini kerana disyaki dalang mengatur projek di kementerian itu, termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.

The Malaysian Insight difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lelaki berumur 50 tahun dan bergelar Datuk lebih kurang 12 tengah hari tadi.

Beliau yang juga bekas ahli parlimen sebelum itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati suspek menerima sogokan daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus, termasuk peralatan pesawat pada 2017.

Sumber juga berkata, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal yang disyaki terlibat dengan bekas pegawai menteri itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki yang dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes disiasat siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 atas kesalahan menerima suapan.

SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok, tambah Azam. – 29 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen