Status blok retak Taman Keramat Permai diketahui minggu ini, kata Azmin


SM Amin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali bersama penduduk Blok F di Pangsapuri Lembah Keramat, Kuala Lumpur semasa lawatannya ke flat berkenaan. - Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 April, 2019.

STATUS bangunan Blok F, Pangsapuri Taman Keramat Permai dijangka akan diketahui minggu ini selepas laporan siasatan bangunan tersebut lengkap kata, ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Semua agensi dan jabatan yang terlibat akan merumuskan siasatan mereka pada Rabu sebelum dibentang kepada kerajaan negeri Selangor pada 2 Mei untuk tindakan susulan.

“Laporan awal sudah siap tetapi kita perlukan sedikit masa untuk dapatkan laporan terperinci. Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi (punca keretakan tersebut). 

“Mereka akan meneruskan siasatan ini sehingga 1 Mei. Kita jangkakan 2 Mei semua jabatan dan agensi akan merumuskan dan membentangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan yang perlu diambil.

“Saya mahu keselamatan penduduk diberikan keutamaan walaupun Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mendapati tiada pergerakan tanah atau bangunan sepanjang tiga hari mereka melakukan pemantauan dan kajian,” katanya kepada wartawan hari ini.

Azmin berkata demikian selepas melawat bangunan tersebut tengah hari tadi.

Pada Jumaat lalu, seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga di blok berkenaan diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan selepas  beberapa tanda retak dikesan pangsapuri empat tingkat berkenaan.

Bagaimanapun, hanya 37 penduduk daripada sembilan keluarga yang menghuni flat itu berada di pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, manakala baki 184 penghuni lagi dipercayai tinggal di rumah saudara-mara di kawasan berhampiran.

Penduduk Pangsapuri Lembah Keramat Flat ditempatkan di pusat pemindahan sementara MPAJ di AU2 di Taman Keramat, Kuala Lumpur selepas berlaku beberapa retakan di kediaman mereka. - Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 April, 2019.

Azmin juga memberi jaminan penduduk akan dapat kembali ke rumah masing-masing sebelum bermula Ramadan sekiranya bangunan tersebut berada dalam keadaan selamat untuk diduduki.

Umat Islam dijangka akan menyambut Ramadan Isnin ini.

“Kita jangkakan sebelum Ramadan penduduk boleh kembali ke kediaman masing-masing, iaitu sama ada Sabtu atau Ahad ini (4 dan 5 Mei) jika pasukan teknikal mengesahkan bangunan berkenaan selamat diduduki.

“Jika siasatan mendapati sebaliknya susulan pandangan Ikram dan perunding, proses pembaikan dengan kosnya ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan dilaksanakan.

“Penduduk akan disediakan tempat penginapan lain sementara proses pembaikan berjalan dan segala kos sewaan juga akan ditanggung oleh PKNS,” katanya.

Lawatan itu disertai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib.

Dalam lawatan tersebut Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga bagi mengurang bebanan yang ditanggung oleh mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan ZNA, Zulhkiple A Bakar, jurutera perunding yang dilantik memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan simulator komputer bagi mengenal pasti punca rekahan.

“Rekahan itu di tingkat atas bangunan dan bukannya bawah. Ada pelbagai faktor, mungkin disebabkan tangki air yang ditempatkan di bahagian bumbung, pergerakan tanah, aliran air, sistem pembentungan dan lohong di permukaan bawah tanah.

“Selain itu kita juga tidak menolak kemungkinan retakan tersebut berpunca daripada retakan di bahagian tangga di sebelah kiri blok F,” katanya.

Tambah Zulhkiple, hasil kajian dan siasatan awal mendapati perubahan struktur yang berlaku terhadap blok terbabit hanya berkadar kurang 1 milimeter sahaja. – 29 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen