Jawatankuasa khas untuk pantau projek Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata jawatankuasa bertindak kecemasan khas akan memantau dan memastikan pelan tindak balas kecemasan diikuti apabila komponen dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2019.

PULAU Pinang akan membentuk jawatankuasa bertindak kecemasan khas untuk mengendalikan semua komponen di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri pagi ini jawatankuasa itu akan terdiri daripada agensi penguatkuasaan dan keselamatan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, majlis tempatan dan pihak teknikal berkaitan.

Jawatankuasa berkenaan akan memantau dan memastikan pelan tindak balas kecemasan diikuti apabila komponen dilaksanakan, katanya.

“Pelan tindak balas kecemasan terperinci akan dirumuskan pada peringkat pembinaan dan operasi, seperti yang diperlukan. Ia akan dipatuhi untuk melindungi kepentingan awam dari segi keselamatan, kesihatan, dan alam sekitar daripada kemalangan atau bencana.

“Pelan tindak balas ini, yang akan selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, akan meliputi bidang seperti kerosakan peralatan, kecuaian manusia dan bencana alam.”

Chow menjawab pertanyaan lisan daripada Jason Ong Khan Lee (Kebun Bunga-PH) semasa sesi menyoal.

Ong sebelum ini menggesa kerajaan menangani risiko, kecemasan dan krisis jika kemalangan berlaku semasa pelaksanaan projek besar seperti PTMP.

PTMP merupakan projek penting bagi Pulau Pinang untuk menangani masalah pengangkutan yang semakin buruk. Ia termasuk terowong bawah laut, beberapa lebuh raya baru dan lencongan, dan sistem transit rel ringan.

Empat jalan utama dalam pelan induk lulus peringkat kelulusan penilaian impak alam sekitar, mendapatkan kelulusan bersyarat DoE, seperti Pan Island Link 1 sejauh 19.5km, yang akan membabitkan terowong melalui beberapa bukit di Bukit Bendera, Sungai Ara dan Paya Terubong.

Komponen jalan PTMP mendapat kritikan dan bantahan daripada masyarakat awam Pulau Pinang, yang membangkitkan kebimbangan terhadap alam sekitar dan sosial. – 29 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen