Syed Saddiq serang TMJ, bela Dr Mahathir


Mikha Chan

Syed Saddiq mempersoalkan mengapa Tunku Ismail - yang juga dikenali sebagai Tengku Mahkota Johor, atau TMJ - tidak menggesa Najib Razak digulingkan ketika Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai kleptokrasi, tetapi kini menyeru supaya Perdana Menteri yang mendapat mandat rakyat ditukar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2019.

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menjadikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai sasaran bagi mempertahankan Dr Mahathir Mohamad, dengan mengatakan bahawa tempoh pendek putera mahkota Johor sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia tidak melayakkan kritikannya terhadap tindakan Perdana Menteri.

“Kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan tidak sampai setahun, bayangkan tanggungjawab seorang Perdana Menteri yang ikhlas mahu memulihkan negara tercinta,” kata menteri belia dan sukan tersebut dalam akaun Instagram beliau malam ini.

Syed Saddiq mempersoalkan mengapa Tunku Ismail - yang juga dikenali sebagai Tengku Mahkota Johor, atau TMJ - tidak menggesa Najib Razak digulingkan ketika Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai kleptokrasi, tetapi kini menyeru supaya Perdana Menteri yang mendapat mandat rakyat ditukar.

“Walaupun TMJ gesa orang Johor untuk kekalkan Najib pada PRU14, rakyat tetap bersama Tun Dr Mahathir dan menolak gesaan TMJ.” katanya.

Ini berikutan komen Tunku Ismail baru-baru ini bahawa Dr Mahathir harus diganti, selepas beberapa penyokong kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim menggesa beliau untuk menggantikan jurulatih pasukan itu, Benjamin Mora.

“Daripada tukar Mora, lebih baik tukar perdana menteri,” kata Tunku Ismail dalam sebuah video yang tular.

Putera mahkota Johor dan perdana menteri terlibat dalam perang mulut selama beberapa bulan kebelakangan ini.

Baru-baru ini, hubungan istana Johor dan Dr Mahathir turut tegang berhubung pelantikan menteri besar Johor dan exco negeri.

Syed Saddiq hari ini juga bercakap dalam mempertahankan hubungan dengan ketua pengerusi Bersatu Dr Mahathir dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berikutan perbincangan bahawa parti itu telah berpecah antara keduanya.

“Kepada yang menfitnah Tan Sri untuk melaga lagakan Tan Sri dengan Tun, Sudahlah. Ini masa untuk kita BERSATU!,” katanya dalam akaun Instagram yang semalam.

“Saya ingat lagi apabila ada yang ingin menamakan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7. Beliau menolak kerana beliau inginkan yang terbaik buat rakyat dan beliau lah yang mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.”

Muhyiddin pada hari Jumaat menolak dakwaan wujud dua kem di dalam Bersatu, mengatakan bahawa tidak ada kem Muhyiddin dan kem Dr Mahathir dalam parti itu, dan hubungannya dengan pengerusi parti itu berjalan lancar.

Sementara itu, saudara lelaki Tunku Ismail, Tunku Idris menjawab komen Syed Saddiq dengan menyiarkan artikel Instagramnya dari 1 Julai 2015 di mana putera mahkota turut mengkritik Najib.

Beliau menunjukkan bahawa pada tahun 2015, saudara sulungnya jelas mengkritik bekas perdana menteri tersebut.

Beliau juga mengingatkan semua orang untuk menggunakan bulan Ramadan untuk “muhasabah diri kita, kerabat, kerajaan dan rakyat”.

Komentarnya di Instagram itu bagaimanapun dipercayai telah dipadam. – 28 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen