Sesi teh tarik dianjurkan putera mahkota, bukan Umno, kata Lokman


Lokman semalam mengumumkan acara itu di media sosial, menjemput orang ramai untuk menyertainya, di samping menyatakan bahawa mereka boleh mengambil "selfie" dengan putera mahkota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2019.

UMNO tidak ada kaitan dengan sesi tarik teh dengan empat putera mahkota yang akan diadakan di Melaka esok, kata ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Beliau berkata program itu dimulakan oleh putera-putera itu sendiri dan beliau hanya bertindak menyebarkan jemputan tersebut untuk memastikan kehadiran yang baik.

“Program tersebut program Istana, bukan program kami.  Bila saya menerima whatsapp dan poster dari seorang sahabat yang rapat dengan pihak TMJ, saya pun sebarkan dan tulis akan hadir,” katanya dalam status Facebook hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata edaran program di kalangan anggota Umno memberikan persepsi bahawa ia adalah program Umno, yang akhirnya menyebabkan ia ditangguhkan.

Acara “Santai Teh Tarik” di Mahkota Parade, Melaka pada hari Isnin, yang melibatkan putera-putera mahkota Johor, Selangor, Pahang dan putera “misteri” yang lain disebut sebagai program untuk rakyat berinteraksi dengan putera-putera mahkota.

Lokman semalam mengumumkan acara itu di media sosial, menjemput orang ramai untuk menyertainya, di samping menyatakan bahawa mereka boleh mengambil “selfie” dengan putera mahkota.

Walau bagaimanapun, beberapa jam kemudian Lokman berkata acara itu mungkin tidak dilaksanakan kerana beberapa “panggilan telefon”.

Hari ini, Pejabat Diraja Selangor menafikan penglibatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam program itu.

Dalam satu kenyataan, setiausaha peribadi Tengku Amir, Saidatul Asyikin Muhammad Johar, berkata putera itu tidak pernah bersetuju untuk menyertai acara yang kononnya melibatkan tiga putera yang lain.

Sementara itu, menurut laporan Malaysiakini, seorang sumber yang dekat dengan istana Johor berkata putera mahkota itu kecewa dengan Lokman berhubung kenyataannya yang mengaitkan acara teh tarik dengan himpunan anti-Statut Rom yang ditetapkan pada 4 Mei depan, yang bakal dihadiri Umno dan PAS.

“Jika anda lihat dari mesej (Lokman), dia cuba hubungkan acara ini dengan satu lagi acara pada 4 Mei, sedangkan ia tak ada kaitan langsung.

“Apa yang mengganggu keempat-empat putera mahkota, dan tentunya keluarga diraja, adalah mengaitkan kedua-dua acara ini. Cara Lokman menulis seolah-olah putera-putera itu menyokong perhimpunan tersebut, atau penganjur.

“Kami tahu mereka (penunjuk perasaan) sedang menganjurkan perhimpunan, dan okey sahaja untuk mereka ambil inisiatif sendiri, tetapi tidak tepat untuk letak mesej (kedua-dua program) dalam satu mesej WhatsApp,” sumber itu dipetik sebagai berkata. – 28 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen