Kumpulan Islam hadir ke gereja tunjuk tanda solidariti


Mikha Chan

Ahli kumpulan Global Unity Network mengunjungi Gereja St. Joseph's di Sentul, Kuala Lumpur hari ini sebagai tanda solidariti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 April, 2019.

INSIDEN serangan pada hari sambutan Easter di Sri Lanka pada minggu lalu, tidak menghalang sebuah kumpulan Islam untuk mengunjungi Gereja St. Joseph’s di Sentul, Kuala Lumpur hari ini walaupun mereka mungkin dinasihati agar tidak berbuat demikian.

Global Unity Network, sebuah kumpulan Islam yang disertai golongan profesional dan pelajar, menghadiri acara gereja disusuli dialog dengan paderi kariah Reverend George Packiasamy.

Presiden kumpulan itu Shah Kirit Kakulal Govindji memberitahu The Malaysia Insight bahawa beliau rasa tersentuh apabila mendengar mesej paderi itu mengenai kemaafan termasuk memberi kemaafan kepada pelaku serangan pengemboman Sri Lanka.

Shah Kirit berkata kumpulannya mengadakan kunjungan ke gereja untuk menunjukkan solidatiri bersama penganut Katolik susulan tragedi pada minggu lalu.

Katanya ia juga bertujuan mendidik orang Islam tentang kepercayaan dan cara ibadat agama lain, dan kebaikan untuk mengetahi tentang banyak persamaan antara setiap kepercayaan.

“Banyak masalah kita berlaku kerana perasaan prejudis dan syak wasangka. Namun jalan terbaik (mengatasi isu ini) adalah dengan belajar, bukannya membuat tanggapan,” kata Shah Kirit.

“Orang Islam sering meminta agama lain untuk memahami mereka. Tetapi pemahaman perlu berlaku secara dua hala.”

Shah Kirit yang memeluk Islam pada 1996, berpindah agama dari Hindu kerana perkahwinan, kemudiannya jadi mendalami ilmu Islam dan jadi pendakwah.

Beliau juga dilaporkan pernah menjalani kursus intensif perbandingan agama dengan tokoh kontroversi Dr Zakir Naik di Mumbai, India.

Beliau mendapat tauliah untuk mengajar agama daripada pihak berkuasa agama beberapa negeri antaranya Perak dan Selangor, yang masing-masing menamakan beliau sebagai tokoh pendakwah pada 2011 dan 2013.

Shah Kirit juga pernah dinamakan sebagai Tokoh Saudara Muslim Muslimin (2010). Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan (2012), serta menerima Anugerah Dakwah Negara: Pendakwah Saudara Kita pada 2015.

Pengebom yang terlibat dalam serangan di Sri Lanka dipercayai pelampau Islam. Militan Daesh turut mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang mengorbankan lebih 250 nyawa dan mencederakan 500 yang lain.

Kebanyakan mangsa merupakan penganut Katolik yang hadir ke gereja bagi sambutan Easter.

Gereja-gereja di Kuala Lumpur dimaklumkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan memberi kerjasama dengan polis menjelang himpunan pada di gereja pada setiap minggu.

Sementara itu, George mengalu-alukan usaha untuk mengukuhkan hubungan antara agama dan menjelaskan bahawa ini bukan kali pertama kariahnya dilawati oleh kumpulan dari agama lain.

Semalam, beliau bertemu dengan 40 pelajar Universiti Islam Antarabangsa selama dua jam dan berbicara dengan mereka mengenai fungsi gereja. Kariah gereja Sentul mempunyai hampir 7,000 jemaah.  – 28 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Istilah BM: Paska, bukan Easter.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Anak Kampung · Ulasan