Masanya tubuh mahkamah jenayah kemanusiaan serantau


SUDAH sampai masanya Asean memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah mahkamah jenayah khas peringkat serantau khusus bagi menyiasat segala kegiatan atau aktiviti jenayah serius kemanusiaan yang berlaku khusus di kalangan negara-negara anggotanya. 

Ini susulan keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak menerima Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). 

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, pihak kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh memberi pertimbangan untuk berbincang serta mengusulkan kepada negara-negara Asean bagi mewujudkan satu bentuk agensi, tribunal ataupun mahkamah pengadilan yang lebih sesuai serta yang dapat diterima oleh negara-negara anggotanya.

Pada awal Mac lalu pihak Wisma Putra telah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Namun tidak lama kemudian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan mengejut untuk menarik diri.

Penubuhan mahkamah jenayah peringkat Asia Tenggara ini dilihat penting bagi memastikan tiada negara serantau di Asia Tenggara yang melakukan sebarang tindakan kekejaman dan penindasan terhadap mana-mana pihak di dalam negara mereka sendiri serta terhadap negara-negara serantau. 

Pada masa sama, penubuhan sebuah mahkamah berkenaan di peringkat serantau dapat memberi isyarat yang jelas kepada semua negara di Asia Tenggara untuk tidak melakukan sebarang jenayah serius kemanusiaan. 

Penubuhan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau ini juga sekurang-kurangnya dapat mewujudkan satu bentuk saluran baru undang-undang yang dapat digunakan oleh mana-mana pihak yang dianiaya akibat daripada sebarang jenis jenayah serius kemanusiaan. 

Perkara ini dilihat penting berikutan krisis kemanusiaan teruk dan berterusan yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar buat sekian lama. 

Seperti yang diketahui, etnik Rohingya di Myanmar menjadi mangsa keganasan dan penindasan kerajaan mereka sendiri serta dari kumpulan-kumpulan pelampau dan fanatik setempat. 

Mengikut rekod beberapa pertubuhan hak asasi manusia peringkat antarabangsa, nasib malang yang menimpa etnik Rohingya sudah berlaku buat sekian lama semenjak junta tentera mengambil alih pentadbiran negara mereka pada tahun 1978. 

Malah, ada juga pihak yang mendakwa bahawa etnik Rohingya telah menerima layanan buruk lebih awal lagi. Ada pihak juga yang menyatakan nasib buruk yang menimpa etnik Rohingya ini juga adalah proses penghapusan etnik. 

Tindakan tidak berperikemanusiaan yang berterusan terhadap etnik Rohingya serta etnik minoriti lain tidak boleh dibenarkan berterusan berlaku di rantau Asean kerana ia jelas bertentangan dengan segala prinsip Asean yang melindungi hak asasi penduduknya yang berjumlah 650 juta. 

Malah Piagam Asean yang telah ditandatanggani oleh Myanmar sendiri juga jelas termaktub jaminan serta penghormatan terhadap hak asasi manusia. 

Jika tiada langkah tegas diambil bagi mengatasi isu ini, nescaya tidak mustahil krisis kemanusiaan yang hampir sama boleh berlaku di negara-negara Asean yang lain. 

Ia juga boleh memberi implikasi buruk terhadap nama baik Asean di peringkat global malah akan membantutkan segala usahanya untuk membantu pihak yang menerima nasib yang sama di rantau yang lain diserata dunia. 

Oleh itu, Asean sebagai sebuah pertubuhan serantau perlu berani mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif dan drastik yang boleh menjamin hak asasi manusia serantau serta memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ditindas di rantau ini untuk membawa aduan mereka ke muka pengadilan. 

Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau, yang boleh memainkan peranan yang sama seperti mahkamah jenayah antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.

Mahkamah itu nanti boleh memantau pematuhan hak asasi manusia dalam kalangan negara-negara Asean serta mengambil proses pendakwaan terhadap mana-mana individu atau pihak yang jelas melanggar prinsip kemanusiaan yang telah ditetapkan oleh Asean. 

Bagi menjayakan cadangan ini, pelbagai langkah perlu diambil dalam kalangan negara Asean seperti melakukan pindaan besar terhadap piagam, penjanjian, instrumen sedia ada atau mewujudkan piagam baru bagi menjayakannya. 

Ia juga menuntut kerjasama serta iltizam yang tinggi dalam kalangan negara-negara Asean bagi mematuhi segala peruntukan atau kuasa mahkamah khas berkenaan setelah ia ditubuhkan kelak. 

Walaupun cadangan penubuhan mahkamah khas terbabit dilihat sukar serta akan mengambil tempoh masa yang panjang, penubuhannya penting supaya tiada pihak dalam kalangan negara-negara Asean terus melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip-prinsip keamanan dan kemanusiaaan yang telah dipersetujui oleh Asean terutamanya dalam aspek perlindungan dan jaminan hak asasi manusia. – 27 April, 2019.

* Dr Muzaffar Syah Mallow adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen