KERJASAMA Umno dan PAS perlu meliputi skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada soal bangsa dan agama sahaja kerana rakyat di negara ini berbilang kaum, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau mengingatkan Umno dan PAS bahawa dua parti itu tidak boleh sampai ke tahap memusuhi kaum lain di Malaysia walaupun soal bangsa dan agama teras utama kerjasama.
“Biarlah kita bergabung bukan sahaja atas agama dan bangsa tetapi kita bergabung atas semangat untuk bantu dan jaga rakyat terutamanya yang miskin tanpa mengira bangsa dan agama.
“Kalau betul jawatankuasa teknikal ini berjaya, PAS dan Umno boleh bekerjasama, saya hendak melihat bahawa kerjasama ini dapat berlaku atas asas yang sejagat, yang lebih luas daripada soal agama dan bangsa walaupun itu menjadi teras utama,” katanya, malam tadi.
Khairy berucap dalam Ceramah Perpaduan Ummah di Pejabat PAS Kawasan Pendang di Kedah, malam tadi.
Ini adalah kemunculan pertamanya di pentas penyatuan ummah selepas sebelum ini lantang mengkritik kerjasama Umno dengan PAS.
Selepas tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Umno dan PAS mula menjalankan kerjasama secara tidak formal dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Islam, orang Melayu dan isu yang mempunyai kesan negatif terhadap negara.
Khairy mengakui pada peringkat awal kerjasama Umno dan PAS, beliau antara individu yang lantang mengkritik dan meminta parti berhati-hati dengan kerjasama tersebut.
“Ini kali pertama saya berucap di atas pentas PAS. Saya terima undangan tersebut atas persahabatan saya dengan Ahli Parlimen Pendang (Awang Solahudin Hashim),” katanya.
“Dalam Umno sayalah yang paling berhati-hati kerjasama dengan PAS ini kerana saya rasa kita tidak ada pilihan lain untuk tentang Pakatan Harapan.”
Pada 5 Mac lalu, Umno dan PAS buat julung kali mengadakan mesyuarat bersama antaranya membincangkan agenda pembentukan Jawatankuasa Bersama Penyatuan kedua-dua parti, termasuk untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
The Malaysian Insight difahamkan bentuk dan asas kerjasama Umno-PAS itu telah dimuktamadkan minggu lalu untuk dipersetujui oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti sebelum diumumkan secara rasmi tidak lama lagi. – 27 April, 2019.
Komen