Putrajaya gagal tangani kekeliruan Statut Rom, ICERD, kata aktivis mahasiswa


Mikha Chan

Aktivis mahasiswa Asheeq Ali berkata Putrajaya sepatutnya merancang komunikasi yang lebih baik dengan orang ramai berkaitan dasar-dasar yang mahu dilaksanakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 April, 2019.

PUTRAJAYA gagal menjelaskan kepentingan perjanjian antarabangsa yang hendak disertainya sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat yang akhirnya menggagalkan usaha kerajaan mahu meratifikasi dokumen tersebut, kata aktivis mahasiswa, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Beliau merujuk pada cadangan Putrajaya mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang jadi polemik hangat sampai sekarang.

Asheeq, yang bertanggungjawab untuk memuat naik ringkasan eksekutif 10 halaman yang dikemukakan kepada Persidangan Raja-Raja pada 2 April bagi meyakinkan sultan-sultan Melayu untuk menolak Statut Rom, menyelar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana terlalu cepat menyerah kepada pengkritik.

Beliau berkata Putrajaya sepatutnya merancang komunikasi yang lebih baik dengan orang ramai.

“Saya menggesa kerajaan untuk menangani perkara ini dengan berhati-hati kerana perpaduan kita dipertaruhkan. Dalam masa satu tahun (sejak PRU14), rakyat telah terpecah.

“Saya salahkan kerajaan kerana tidak dapat menangani isu ICERD dan Statut Rome. Anda mempunyai tanggungjawab untuk pastikan negara ini aman,” kata Asheeq di forum awam berkaitan Statut Rom di Universiti Malaya hari ini.

Beliau berkata bahawa kerajaan gagal menghapuskan kekeliruan umum di sekitar statut itu.

“Kekeliruan (mengenai Statut Rom) mesti ditangani. Anda tidak sepatutnya biarkan perkara ini hanya kerana ada kekeliruan, yang berlaku disebabkan Dr Mahathir.

“Sekiranya ada sebarang perundingan dengan Majlis Raja-Raja, dedahkan minit rundingan itu,” katanya.

Tahun lalu, Putrajaya telah membatalkan rancangannya untuk mengesahkan ICERD, yang merupakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengutuk diskriminasi terhadap kaum berikutan penentangan kuat dari kumpulan hak asasi Melayu dan ahli politik yang mendakwa bahawa langkah itu akan menghancurkan hak istimewa Bumiputera.

Ringkasan eksekutif yang dimuat naik Asheeq dikatakan adalah sebuah pembentangan profesor undang-undang Universiti Teknologi Mara Rahmat Mohamad, profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Shamrahayu Abdul Aziz, dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Beliau dan rakan-rakannya berkata bahawa ringkasan itu berat sebelah, kerana hanya membincangkan mengapa kerajaan harus menolak Statut Rom, dan ia adalah sama dengan dokumen yang turut dikongsi Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di halaman Facebook beliau.

Dr Mahathir berkata pada awal bulan ini bahawa Putrajaya tidak akan mengesahkan Statut Rom kerana “kekeliruan politik” yang menyelubungi isu tersebut.

“Nampaknya terdapat banyak kekeliruan berhubung Statut Rom, jadi kami tidak teruskan,” katanya.

“Ini bukan kerana kami menentangnya, tetapi kerana kekeliruan politik yang wujud disebabkan oleh orang yang ada kepentingan.”

Beliau berkata Malaysia, yang meratifikasi oleh Statuta Ro pada 4 Mac boleh ditarik balik sebelum Jun tahun ini. – 27 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen